Make your own free website on Tripod.com
Surat Wartawan-Wartawan Melayu Kepada Rakyat Malaysia:
"MAAFKAN KAMI"

Assalamualaikum,

Surat ini mewakili wartawan Melayu seramai 265 orang di lima buah agensi media utama di negara ini. Tujuan kami menulis surat ini ialah untuk memberi gambaran sebenar tentang apa yang berlaku dalam kancah politik negara ketika ini. Kami juga ingin menyatakan sikap kami terhadap beberapa isu semasa terutamanya yang ada kaitan dengan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Surat ini kami tulis setelah kira-kira lima minggu kami mengadakan pertemuan tertutup dan sulit dalam kumpulan-kumpulan kecil di luar pejabat. Kami berharap surat ini dapat membantu rakyat Malaysia memahami kedudukan serta peranan yang dipaksakan ke atas kami sebagai wartawan dalam isu Anwar.

Sejak bulan Julai 1998, kami dapat merasa angin perubahan drastik dalam dunia kewartawanan di tempat kami berkerja. Ini dimulai dengan penyingkiran Datuk Johan Jaafar dari Utusan, Datuk Nazri Abdullah dari Berita Harian dan Yunus Said dari TV3. Selain perkembangan itu, Senator Zainuddin Maidin mula memainkan peranan penting semula di Utusan (seolah-olah sebagai Ketua Editor yang baru). Perlu kami jelaskan di sini bahawa sejak perubahan kepimpinan media itu berlaku maka setiap wartawan yang membuat liputan isu-isu semasa dan politik "dipaksa" supaya mengemukakan soalan tertentu kepada beberapa orang tokoh politik mengikut arahan bos-bos baru. Kami dipaksa untuk menulis mengikut framework yang telah disediakan yang tidak langsung memihak kepada Anwar. Kesahihan maklumat dan ketepatan fakta tidak menjadi penting lag. Kami juga tidak lagi dibenarkan membuat interpretasi dan analisis sendiri.

Kemuncaknya ialah apabila Datuk Seri Anwar dipecat. Kami dikerah tak ubah seperti anak sekolah yang baru belajar menulis. Ada ketika kami dikerah seperti orang yang tidak boleh berfikir langsung semata-mata untuk membuat liputan politik yang berat sebelah. Pada mulanya kami yakin bahawa Datuk Seri Anwar memang bersalah dengan pelbagai pertuduhan apabila membaca afidavit kes Datuk Nalla yang difakskan oleh Pejabat Peguam Negara ke semua media tempatan pada 3 September. Tetapi kami menjadi semakin keliru dan skeptik kerana terdapat banyak prosidur dan insiden perundangan yang luar biasa yang didalangi oleh pihak tertentu. Bos-bos kami juga sering bertemu dengan orang atasan di Pejabat Peguam Negara, Polis dan Mahkamah. Apa yang menyedihkan kami ialah tulisan serta laporan kami sejak akhir-akhir ini ditokok-tambah oleh bos-bos kami. Ada banyak berita yang dipalsukan walaupun pada asalnya kami melaporkan apa yang sebenarnya. Sebagai misalnya, apa yang kami tulis "boleh" tetapi yang terbit "tidak boleh"; "mengaku" menjadi "tidak mengaku", "10,000" menjadi "1,000". Selain daripada itu, banyak juga penipuan dari segi berita. Sebagai misalnya, "pelacur diupah untuk sertai demonstrasi di Istana Negara"; "Senator Amerika menalipon Hakim Augistine Paul", dan "pengaruh reformasi semakin kendur". Tidak keterlaluan jika kami katakan bahwa lebih 50% berita mengenai isu Anwar dalam media adalah semata-mata penipuan, propaganda dan palsu yang dipaksa ke atas kami untuk menulis dan disiarkan.

Perlu juga kami nyatakan di sini bahawa sejak kebelakangan ini, kami tidak dibenarkan lagi berkumpul dan berbincang sesama wartawan tentang isu Anwar di pejabat. Tegahan itu dikeluarkan sendiri oleh Ketua Editor dengan alasan mematuhi perintah mahkamah. Tetapi sebenarnya tujuannya ialah untuk menghalang kami bertukar-tukar maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam politik negara sejak kebelakangan ini. Apa nasib kami jika hak asasi untuk berdiskusi untuk mencari keadilan dan kebenaran pun dihalang?

Kami menyedari apa yang sedang berlaku adalah konspirasi politik jahat untuk membunuh Anwar dan mengekalkan kepimpinan PM sepanjang hayatnya demi untuk menjaga kepentingan diri, keluarga dan kroninya. Kami sendiri sudah tidak membaca akhbar yang syarikat atau agensi kami sendiri terbitkan kerana sebahagian besar adalah pembohongan dan propaganda. Kami tidak malu untuk mengatakan bahawa nilai akhbar atau berita yang syarikat kami hidangkan kepada rakyat Malaysia tidak lebih seperti surat layang. Sebagai alternatif kami membaca berita dari media asing yang lebih bersifat objektif menerusi Internet atau akhbar Harakah.

Dengan perkembangan ini, sebagai wartawan yang prihatin terhadap kebenaran dan keadilan serta perjuangan bangsa, kami amat tertekan ketika ini. Kami juga kecewa kerana dunia kewartawanan digadai oleh ketua-ketua kami semata-mata untuk menjaga kepentingan PM semata-mata. Kami tidak sanggup lagi berdiam diri dan hanya menulis untuk menjayakan political framework PM dan kroni-kroninya. Kami tidak tahan lagi dicemuh oleh kawan-kawan, saudara-mara dan masyarakat umum kerana tidak ada integriti dan menjadi pengampu PM.

Oleh yang demikian, kami ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada seluruh rakyat Malaysia di atas laporan serta berita palsu yang setiap hari tersiar dalam media massa. Kami insaf bahawa menyebarkan fitnah dan berita angin adalah perbuatan terkutuk yang sangat dibenci Islam. Kami insaf bahawa kami telah terlibat melakukan dosa besar dan bersengkongkol dengan PM yang ketika ini semakin zalim dan diktator. Kami telah bertaubat. Sebagai menebus dosa, maka kami akan berusaha untuk menyebarkan berita sebenar menerusi saluran lain seperti Internet dan surat. Kami juga akan mendedahkan penipuan dan konspirasi politik oleh PM dan pemimpin UMNO yang lain.

Sekian, terima kasih.

Wartawan-Wartawan Melayu

Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, TV3 & RTM

14 Oktober 1998