Make your own free website on Tripod.com
KES ANWAR

                   Kes Anwar: Tilam pula jadi bukti

                                    
                          TILAM 'RAHSIA'?: Beberapa pegawai polis mengeluarkan tilam dari trak
                                    untuk dibawa ke mahkamah semalam. -- Gambar Reuters.

             KUALA LUMPUR -- Sebuah tilam yang mempunyai beberapa kesan yang
                   disyaki tompokan air mani semalam dikemukakan sebagai barang bukti
                   dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi.

                   Mahkamah itu diberitahu kelmarin tilam itu dirampas dari sebuah apartmen
                   tempat Datuk Seri Anwar didakwa mengadakan hubungan seks dengan
                   isteri orang.

                   Ketika pihak pendakwaan mengemukakan tilam itu pagi semalam, orang
                   ramai dalam mahkamah tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan ingin
                   tahu mereka dan mencuba dengan pelbagai cara untuk melihatnya.

                   Datuk Seri Anwar, 51 tahun, sedang dibicarakan terhadap empat tuduhan
                   rasuah menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam siasatan
                   polis mengenai dakwaan salah laku seks.

                   Tuduhan itu mengikut seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu)
                   Darurat 1970 yang membawa hukuman penjara 14 tahun atau denda
                   RM20,000 (kira-kira $8,695) atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

                   Sebaik sahaja menyambung perbicaraan pada 9.25 pagi, Hakim Datuk S.
                   Augustine Paul, terus bertanya kepada Timbalan Kanan Pendakwa Raya
                   Azahar Mohamad: "Di manakah tilam itu?" sebelum peguambela Datuk Seri
                   Anwar, Encik Christopher Fernando, sempat menyambung soalan balas
                   terhadap SAC I Musa Hassan, saksi ke-13 pendakwaan. Jawapan Encik
                   Azahar bahawa tilam itu masih ditunggu, menimbulkan ketawa di kalangan
                   orang ramai.

                   Hakim itu bertanya lagi, bila tilam itu akan sampai, dan peguam itu
                   menjawab: "Akan sampai, Yang Ariff, sedang dibawa ke mari."

                   Proses mengemukakan barang bukti itu, yang bermula 9.25 pagi, selesai
                   pada 9.45 pagi dan ia kemudian ditandakan dengan kod "P60".

                   Encik Musa, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian
                   Perundangan dan Pendakwaan, memberitahu mahkamah tilam itu berjenama
                   'Orthoslex Classic'.

                   Dengan bantuan seorang pegawai mahkamah, beliau juga membukakan
                   tilam berwarna kelabu cerah itu yang dibungkus dalam kertas warna coklat
                   dengan menggunakan gunting. Kain pembalut tilam itu juga mempunyai
                   beberapa kesan lubang bekas dipotong.

                   Pada peringkat itu, Datuk Seri Anwar, berpaling dan tersenyum kepada
                   keluarganya.

                   Encik Azahar: "Encik Musa, kamu lihat P60 ada kesan berlubang bekas
                   potongan".

                   Encik Musa: "Di atas tilam ini ada kesan carikan. Di atas tilam ini juga ada
                   ditulis beberapa catatan E1 hingga E13. Tempat E1 hingga E13 ini ialah
                   tempat dijumpai kesan tompokan seminal stain. Potongan dan tulisan itu
                   dibuat oleh pegawai kimia."

                   Pihak pendakwa setakat ini tidak mengemukakan bantal yang turut
                   dirampas sebagai bukti dan hakim berkata ia tidak relevan kerana tiada
                   kesan tompokan. -- Bernama.