Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN MEDIA

PENANGKAPAN PENGERUSI GAGASAN DEMOKRASI RAKYAT

Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) ingin melahirkan kekesalan terhadap penangkapan Pengerusi Gagasan Demokrasi Rakyat, Saudara Tian Chua oleh pihak polis pada malam tadi. Tian Chua adalah tidak terlibat dalam perhimpunan yang diadakan di Kampung Baru pada 21 November 1998 di mana tempat beliau ditangkap. Menurut maklumat yang diterima oleh GERAK, beliau hadir ke Kampung Baru bersama beberapa teman beliau dari SUARAM pada malam tersebut kerana menerima laporan tentang keganasan yang dilakukan oleh pihak polis termasuk menyembur air bewarna kuning kepada peserta perhimpunan.

GERAK juga mengesyaki penangkapan tersebut bermotif politik kerana penahanan itu dibuat pada pukul 11.00 malam iaitu selepas semua peserta perhimpunan bersurai.Yang menghairankan hanya Tien Chua sahaja yang ditahan daripada tiga orang rombongan beliau. GERAK juga merasa kesal terhadap tindakan polis yang melayan beliau secara kasar di tempat kejadian termasuk menumbuk, menendang dan memukul beliau seperti mana yang telah diberitahu oleh rakan yang bersama beliau ketika kejadian tersebut kepada GERAK.

GERAK juga mempersoalkan tindakan polis yang hanya akan cuba mendapatkan perintah reman pada Isnin (23 november 1998) iaitu 48 selepas jam beliau ditahan. Ini adalah satu pencabulan terhadap undang-undang dan hak asasi manusia. Sepatutnya beliau mesti dibawa ke hadapan majestrit dalam tempoh 24 jam dari masa beliau mula ditahan pada jam 11.00 malam 21 November 1998.

GERAK juga ingin melahirkan kekesalan terhadap tindakan polis yang kembali ganas terhadap peserta perhimpunan aman selepas Persidangan APEC. Beberapa perhimpunan sebelum ini berakhir dengan aman apabila pihak polis tidak bertindak di luar batas kemanusiaan. Ini membuktikan bahawa kekecohan sebelum ini adalah berpunca daripada pihak polis. Polis sepatutnya membenarkan orang ramai berhimpun secara aman selaras dengan semangat perlembagaan.

GERAK menuntut supaya Saudara Tien Chua dan tahan lain termasuk tahanan ISA dibebaskan dengan segera tanpa syarat oleh kerajaan kerana penahan mereka adalah suatu yang di luar batas kemanusiaan. GERAK juga menuntut untuk kerajaan membenarkan sebarang perhimpunan aman yang dibuat oleh rakyat sebagai tanda menghormati demokrasi dan hak asasi manusia seperti mana yang diperjuangkan oleh kerajaan.    KEMBALIKAN KEADILAN UNTUK RAKYAT

HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ketua Sekretariat GERAK

22 November 1998