Make your own free website on Tripod.com
ANWAR BERI KETERANGAN SECARA BERSUMPAH

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mula membela diri di Mahkamah Tinggi di sini terhadap empat tuduhan rasuah yang dipinda, dengan memberi keterangan secara mengangkat sumpah dari kandang saksi.

Anwar, yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sept tahun lepas, mula memberi keterangan pada 9.40 pagi pada hari ke-51 perbicaraan dan banyak bercakap mengenai tugasnya sebagai anggota Kabinet.

Sambil menyebut bahawa tugas-tugasnya amat rumit, beliau turut mendakwa beliau tidak disenangi oleh banyak pihak.

Sebelum itu, Hakim Datuk S.Augustine Paul membenarkan Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah mengetuai pihak pendakwa yang turut disertai enam timbalan pendakwa raya.

Anwar, 51, diperintah membela diri terhadap tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mempengaruhi polis berhubung siasatan mengenai dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Ketika disoal oleh peguam utama pembelaan, Raja Aziz Addruse, Anwar berkata bahawa beliau menjawat pelbagai jawatan termasuk pengerusi Jawatankuasa Kabinet Bagi Pengurusan dan Keutuhan Kerajaan.

Katanya, jawatankuasa itu tidak mempunyai timbalan pengerusi dan anggotanya terdiri daripada empat menteri, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan dua Ketua Setiausaha termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

"Tugas saya amat rumit dan tidak disenangi banyak pihak dan perkara ini dimaklumi sendiri oleh Badan Pencegah Rasuah dan Peguam Negara.

"Jawatankuasa ini menerima banyak sekali aduan mengenai penyelewengan kerajaan, rasuah termasuk tuduhan yang melibatkan menteri-menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan bahkan Perdana Menteri sendiri," katanya.

Anwar juga mendakwa ramai pegawai kerajaan yang bukan di bawah tanggungjawabnya selaku menteri kewangan datang berjumpanya.

"Sebagai Timbalan Perdana Menteri saya ditemui oleh pegawai-pegawai kanan yang lainnya selain daripada pegawai-pegawai di bawah tanggungjawab saya selaku menteri kewangan iaitu ketua pengarah unit perancang ekonomi (EPU), ketua polis negara (KPN), pengarah cawangan khas (PCK) dan lain-lain," katanya.

Anwar, yang berbaju kemeja biru muda dan berseluar gelap kelihatan ceria serta sempat berseloroh semasa memberi keterangan. Selepas mengangkat sumpah dalam Bahasa Malaysia, beliau memberitahu mahkamah bahawa alamatnya ialah Penjara Sungai Buloh.

Hakim: Umur 51 tahun?

Anwar: Ya.

Hakim: Alamat rumah?

Anwar: Penjara Sungai Buloh (sambil tersenyum dan memandang ke arah anggota keluarganya yang berada di mahkamah).

Jurubahasa kemudian meminta kebenaran mahkamah untuk memberikan kertas kepada beliau. Apabila ditanya tujuannya, Anwar berkata ia bagi membolehkan beliau mencatatkan apa-apa soalan yang rumit. Bagaimanapun Raja Aziz yang bertindak sebagai peguam bela utama berkata soalannya tidak pernah rumit.

Pembelaan dimulakan dengan Anwar disoal mengenai keanggotaannya dalam Umno.

Beliau berkata beliau mula menjadi anggota Umno pada tahun 1967 tetapi aktif pada tahun 1982 dan telah menyandang jawatan Ketua Pemuda parti itu pada tahun yang sama, Naib Presiden lima  tahun kemudian sehingga 1993 apabila beliau menjadi Timbalan Presiden.

"Sekarang tidak jadi anggota lagi, sudah dipecat," katanya sambil tersenyum.

Yang turut hadir di mahkamah yang padat itu ialah isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang ditemani anak sulung mereka Nurul Izzah dan bapa Anwar Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Anwar berkata beliau menjawat beberapa jawatan Timbalan Menteri dan Menteri. Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1982, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan setahun kemudian, Menteri Pertanian pada 1984, Menteri Pendidikan 1986, Menteri Kewangan pada 1991 dan Timbalan Perdana Menteri pada 1993. Now jobless (sekarang tak ada kerja)," katanya.

Beliau berkata tanggungjawab beliau sebagai Menteri Kewangan terdapat dalam warta kerajaan dan tugasnya secara umum melibatkan pengurusan ekonomi dan pendapatan negara.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri pula, beliau berkata beliau bertanggungjawab membantu Perdana Menteri dan sebagaimana yang diputuskan oleh Kabinet.

"Saya tidak boleh mengambil apa-apa keputusan atau tindakan tanpa kelulusan Perdana Menteri semasa menjalankan tugas melainkan ada peruntukan yang jelas dalam undang-undang,  umpamanya menjalankan tanggungjawab selaku Menteri Kewangan atau seperti mana yang diluluskan oleh Kabinet," katanya.

Beliau berkata mengikut warta kerajaan PU (A) 203 bertarikh 1 Jun 1995, beliau dilantik sebagai pengerusi beberapa jawatankuasa Kabinet termasuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Infrastruktur dan Jawatankuasa Kabinet Bagi Pengurusan dan Keutuhan Kerajaan itu.

Anwar berkata sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan dan keutuhan kerajaan itu, beliau menerima laporan dari sekretariatnya iaitu BPR dan Mampu dan dalam menjalankan tugas jawatankuasa itu, beliau diberi nasihat oleh Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan beberapa pegawai kanan lain.

Beliau berkata walaupun ketua pengarah EPU, KSN, Peguam Negara dan KPN di bawah tanggungjawab Perdana Menteri selaku Menteri Dalam Negeri, mereka sering memberi laporan atau nasihat bagi menjalankan tugas.

Semasa ditanya sebab mereka tidak menemui PM sendiri, Anwar berkata mereka ada juga menemui PM tetapi "kadang-kala mereka mungkin mendapat kesukaran untuk menemui PM yang sibuk dengan projek-projek besar, oleh itu mereka memilih untuk menyampaikan maklumat itu kepada saya."

Terdahulu dalam keterangan mengenai jawatan yang dipegangnya, Anwar berkata beliau juga menjadi pengerusi jawatankuasa ad hoc bagi beberapa "problematic project (projek bermasalah) seperti projek Bakun dan KLIA".

Anwar berkata pegawai-pegawai kanan itu menemuinya walaupun tahu beliau tidak mempunyai kuasa dalam hal berkenaan.

"Saya tahu sebab mereka menemui saya kerana lebih senang menemui saya dan kadang-kala mereka mahu saya sampaikan perkara itu kepada PM kerana mereka juga tahu hubungan saya dengan PM sangat rapat. Dululah," katanya.

Beliau berkata bukan menjadi kebiasaan bagi pegawai kanan kerajaan untuk tidak melapor secara langsung kepada menteri berkenaan, "akan tetapi Perdana Menteri mempunyai tugas yang berat, jadi pegawai-pegawai kanan menggunakan saluran saya dari masa ke masa."

Mengenai tugasnya sebagai pengerusi jawatankuasa bagi pengurusan dan keutuhan kerajaan itu, beliau berkata aduan yang dibuat akan dirujuk kepada BPR selepas menerima nasihat agansi itu dan Peguam Negara.

"Kalau yang melibatkan disiplin pegawai kerajaan, maka ia dirujuk kepada KSN, yang melibatkan urusan kewangan, ia dirujuk kepada kementerian kewangan.

"Tugas jawatankuasa ialah memanggil pegawai-pegawai kanan atau jabatan yang ditegur Ketua Audit Negara untuk memberikan penjelasan. Dua contoh yang paling besar ialah pembaziran berbilion ringgit..."

Pada peringkat ini Mohtar bangun dan mengingatkan Anwar bahawa keterangannya itu mungkin melibatkan Akta Rahsia Rasmi tetapi Anwar memberitahu mahkamah bahawa dokumen mengenai keterangan itu tidak termasuk dalam akta berkenaan.

Setelah diminta oleh hakim untuk meneruskan keterangannya, Anwar berkata, "...yang tidak diuruskan dengan cekap oleh bahagian stor dan simpanan JKR (Jabatan Kerja Raya) dan Kementerian Pertahanan."

Anwar berkata semua aduan kepada jawatankuasa itu dimajukan kepada BPR dan agensi itu akan menyiasat dan laporan kemajuan siasatan diberikan kepada PM dan dalam beberapa kes kepadanya.

Semasa ditanya sebab aduan ditujukan sendiri kepadanya, Anwar berkata "perkara itu dimajukan kepada saya kerana selain saya sebagai pengerusi jawatankuasa, ia juga kerana persepsi masyarakat bahawa jika ada aduan rasuah yang serius lebih baik dimajukan kepada pengetahuan saya supaya kes itu tidak ditutup dengan mudah".

Beliau berkata kes-kes biasa yang disiasat oleh BPR akan dirujuk kepada Peguam Negara tetapi ada kes tertentu yang BPR terpaksa menunggu arahan daripada PM sebelum dirujuk kepada Peguam Negara.

"Ini kerana melibatkan pemimpin-pemimpin politik atau pegawai tinggi kerajaan," katanya.

Beliau berkata beliau tidak tahu sama ada BPR merujuk semua kes kepada Jabatan Peguam Negara kerana agensi itu akan memaklumkan kepadanya sekiranya ada halangan untuk mereka meneruskan siasatan.

Ketika Raja Aziz memintanya menjelaskan maksud "halangan", Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail membantah soalan itu kerana ia tidak relevan dalam kes berkenaan.

Apabila hakim meminta pihak pembelaan menerangkan relevannya keterangan Anwar, Raja Aziz berkata; "Ia berhubung-kait dengan isu konspirasi. Ia juga berhubung kait dengan motif."

Hakim Paul kemudian menangguhkan perbicaraan selama 15 minit ekoran cadangan Mohtar bagi membolehkan kedua-dua pihak menimbangkan tentang relevan atau tidaknya keterangan itu.

Apabila perbicaraan disambung, Raja Aziz berkata, "oleh kerana kedudukan yang dipegang oleh tertuduh dalam jawatankuasa kabinet, yang kadang-kala memerlukan beliau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh orang-orang lain untuk menutup siasatan terhadap kes-kes yang sangat penting, ia menyebabkan orang lain berantagonis
terhadapnya.

"Dan kami akan menunjukkan bahawa pegawai-pegawai kanan kerajaan yang datang menemuinya itu berbuat demikian kerana mereka tidak suka dengan keputusan-keputusan untuk menutup siasatan mengenai kes-kes itu."

Bagaimanapun Paul memutuskan bahawa corak tanya-jawab itu adalah tidak relevan kepada kes berkenaan kerana mahkamah mendapati pihak pembelaan tidak menunjukkan bahawa ia relevan.

"Saya tidak dapat membenarkan anda meneruskan. Tangan saya terikat dengan undang-undang," kata hakim.

Sebelum itu Mohtar berkata keterangan Anwar hanya merupakan keterangan dengar kata, dan meminta pihak pembelaan menamakan orang-orang berkenaan serta menyatakan kedudukan mereka.

Bagaimanapun ini dinafikan oleh Raja Aziz yang mendakwa terdapat dokumen untuk menyokong mereka. Katanya kini terlalu awal untuk menyatakan nama orang-orang berkenaan.