Make your own free website on Tripod.com
WARKAH TERBUKA UNTUK SULTAN BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu Ďalaikum Wrt. Wbh.

Mengadap Kebawah Duli Tuanku Sultan Hasanul Bolkiah, Sultan Brunei Darussalam.

Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Harap Di Ampun.

Patik mengutus warkah ini kehadapan Tuanku kerana patik mendapat tahu bahawa Memanda Menteri negeri patik akan berangkat mengadap Kebawah Duli Tuanku untuk menyampaikan sesuatu dan memohon sesuatu dari Tuanku. Patik harap Tuanku terimalah dia mengadap kerana patik kasihan kepadanya.

Adapun Memanda Menteri negeri patik yang namanya Mahathir a/l Mohamad yang sangat tua itu sudah tidak lagi mendapat sokongan rakyat jelata. Bukan setakat itu saja, bahkan semua ketua-ketua negara di dunia pun sudah tidak ingin lagi berurusan dengannya, dik kerana kelakuannya di akhir usia.

Minggu lalu dia mengadap Maharaja Jepun minta dibantu negara kami yang sudah kekeringan wang belanja. Tapi malangnya Maharaja hanya memberi sebilah Pedang Samurai buat diguna untuk jampi mentera bagi mengubat lebam mata Sdra. Anwar dipenjara dan menawar kepanasan rakyat jelata yang memberontak di jalan-jalan raya.

Patik rakyat jelata di negeri Sekangkang Kera sudah tahu bahawa kedatangan Memanda Menteri mengadap Tuanku juga adalah untuk tujuan yang sama. Meminta hutang dari Tuanku konon untuk belanja negara tapi sebenarnya untuk membayar hutang anakandanya serta kerabat niaganya yang sudah jadi semakin papa.

Eloklah Tuanku simpan sahaja wang yang ada atau diberi saja pada fakir miskin di Somalia atau mangsa keganasan di Bosnnia dan Kosova. Kami rakyat jelata bukan tak sudi menerima pemberian Tuanku Raja, tapi kami tahu dan sudah jangka, sebelumpun wang masuk ke Tabungan Negara, semuanya habis difaraid belaka sesama kerabatnya jua. Akhirnya pemberian Tuanku tak kemana, rakyat jelata masih sengsara.

Oleh itu eloklah kami semua bersabar dan bertahan diri. Berpuasa selang sehari. Berbelanja, apa yang patut saja dibeli. Bekerja kuat tingkatkan produktiviti. Ekonomi kami akan kami bangunkan sendiri. Yang kaya raya dan tak sedar diri, biarkan mereka mati. Kalau hidup pun menyusahkan kami. Kalau mereka tak ada, tak bermakna taraf ekonomi kami tak boleh tinggi. Kami amat yakin pada diri sendiri. Rakyat jelata semuanya boleh berdikari. Bukan setakat bangun kembali, malah kami mampu berlari, disuatu hari nanti. InsyaAllah dengan izin Illahi.

Disamping itu Tuanku percayalah juga, bersama-samanya akan dibawa cerita reka tentang kelaku Anwar yang tak terpercaya oleh sesiapa. Janganlah Tuanku turut terpedaya dengan kepetahan tukang ceritanya, yang pintar mengguna alat keramat multimedia kebanggaannya, yang boleh mengubah-ubah suara dan bentuk rupa manusia sehingga yang tiada menjadi ada, yang tak buat apa-apa menjadi galak tak terkira.

Kami semua rakyat jelata di negeri yang jauh dari Tuanku amat yakin Tuanku amat tahu segala yang berlaku. Takkan lah seorang raja bijaksana seperti Tuanku akan terpedaya dengan Mamak Bendahara yang bukan sangat pintar akalnya itu. Kalau dia pintar kenapa negara dah jadi huru hara.

Jadi harapan kami rakyat jelata, janganlah pula Tuanku cepat terpedaya dengannya. Kalau dia bercerita, dengar sahaja. Kalau dia meminta angguk kepala jua. Kalau dia merayu simpatilah sahaja. Kalau dia menangis, berikan kain kesat air mata. Jangan dikata yang diminta itu tiada, tapi katakan nantilah dulu biar Tuanku periksa. Katakan Tuanku nak tanya pendapat rakyat jelata. Katakan Tuanku nak tengok apa terjadi pada mereka yang ditahan dan disiksa. Yang disingkir dan dianiaya.

Biar Memanda pulang melopong jua. Membawa harapan kosong belaka. Biar rakyat tahu yang dia tiada lagi sahabat yang ingin bersamanya. Meskipun dulu orang berbangga. Mennyangka Mahathir seorang wira. Kini biar dia sedar sedikit dan kenal dirinya. Tanpa rakyat siapalah dia.

 

Rakyat Negeri Sekangkang Kera