Make your own free website on Tripod.com
PRM: PEROMBAKAN TIDAK AKAN MENGUBAH APA-APA

Perombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad merupakan satu percubaan untuk memulihkan keyakinan umum terhadapnya dan kerajaan pimpinannya. Walaupun  melepaskan Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri,  Mahathir tidak akan berjaya mengabui mata masyarakat bahawa  kuasa tidak lagi bertumpu di tangannya, ataupun menepis serangan yang begitu banyak terhadap dirinya akibat berbagai-bagai skandal yang berlaku di bawah dua kementerian itu.   Orang boleh tertipu dengan rupa bentuk, akan tetapi pada hakikatnya Perdana Menteri akan terus menguasai kabinet dan negara dengan cara "authoritarian" dan tetap perlu dibertanggungjawabkan ke atas segala skandal yang berlaku. Perombakan ini tidak boleh diambil sama sekali sebagai tanda bahawa Mahathir membuat persediaan untuk berundur.

Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Badawi adalah seorang yang lemah dan masih lebih merupakan seorang burokrat. Sungguhpun kelihatan berjaya, namun diketahui umum bahawa semasa menjadi Menteri Luar, Kementerian itu dikuasai oleh PM, yang menentukan dasar penting  dan keputusan besar. Abdullah melaksanakannnya semacam seorang pegawai yang menurut perintah saja. Adalah dibimbangkan bahawa TPM dan Menteri Dalam Negeri yang baru ini akan lebih taat melulu lagi kepada Perdana Menteri.

Mengenai Tun Daim Zainuddin pula, beliau dilihat sebagai Menteri Kewangan yang sebenarnya, terutama selepas Datuk Seri Anwar disingkir. Kadang-kadang susah hendak dibezakan sama ada beliau seorang berkuasa besar yang setia kepada PM atau sebenarnya beliau telah menguasai PM seolah-olah sebagai tawanan. Amat disangsikan sekali sama ada sebagai Menteri Kewangan beliau akan dapat menahan diri daripada meletakkan kepentingan perniagaan sendiri dan UMNO, yang banyak dipegangnya, di atas kepentingan rakyat ramai. Akan tetapi yang  pasti ialah  beliau dan PM akan sentiasa bertindak bersama, saling memperkuat antara satu sama lain dan juga untuk mengukuh kedudukan kroni-kroni mereka yang terkenal.

Berhubung dengan perlantikan dan pemindahan jawatan beberapa Timbalan Menteri, tiga perkara jelas. Pertama, mereka yang dianggap rapat dengan Anwar telah dipindahkan daripada Jabatan PM dan Kementerian Kewangan. Kedua, mereka yang terkenal sebagai penyokong PM, bahkan dianggap sebagai kroni, telah dilantik atau ditukar kepada kementerian lebih
penting. Ketiga, PM tidak mengambil peluang untuk menggugurkan kayu-kayu lapuk dari kabinet.

Perombakan ini tidak akan mengubah apa-apa secara bermakna. Sistem-sistem yang asas dan dasar-dasar penting tidak berubah. Selanjutnya, tidak ada jaminan bahawa korupsi, "bailout" (penelamatan syarikat) secara terpilih dan kronisme tidak akan berkurangan, apatah lagi diberhentikan. Bahkan, kabinet ini lebih-lebih lagi merupakan kabinet kroni. Perubahan orang dan jawatan tidak penting . Yang lebih penting ialah perubahan dalam sistem, dasar dan amalan.

Kini Perhimpunan Agung UMNO untuk memilih pimpinan serta ahli-ahli baru Majlis Tertinggi, yang sepatutnya berlaku dalam bulan Jun tahun ini,telah ditangguhkan. Ia membuktikan bahawa Mahathir  tidak begitu yakin sama ada boleh mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO sekiranya dicabar. Walaupun   yakin tentang dirinya, namun beliau  tidak begitu
pasti sama ada kebanyakan kroninya dalam Majlis Tertinggi sekarang boleh dipilih semula. Penangguhan ini juga membuktikan sejauh mana Mahathir sanggup bertindak dengan cara tidak demokratik untuk meneruskan kekuasaannya demi menyelamatkan kedudukan  kroni-kroni politik dan ekonominya.

Dr Syed Husin Ali
Presiden, Parti Rakyat Malaysia (PRM)
9 Januari 1999