Wartawan-Wartawan Melayu
Utusan melayu, Berita Harian, New Straits Times, TV3 & RTM

9 Oktober 1998

 
PER: SURAT TERBUKA KEPADA TAN SRI (DR.) A. SAMAD ISMAIL

Assalamualaikum Tan Sri,

Surat ini mewakili wartawan Melayu seramai 265 orang di lima buah agensi media utama di negara ini. Tujuan kami secara rahsia menulis kepada Tan Sri ialah untuk menyatakan perkembangan yagn berlaku dalam agensi media tempatan sejak akhir-akhir ini. Usaha kami ini iaitu dengan menulis kepada Tan Sri dimulai dengan perbincangan secara tidak formal dalam kumpulan-kumpulan kecil di luar pejabat. Setelah kira-kira lima minggu berbincang kami dengan dimulai oleh beberapa orang wartawan senior, maka kami mengambil keputusan untuk menyambpaikan kepada seseorang yang boleh membantu memperbetulkan keadaan dan imej media di negara ini. Menurut pendapat sebilangan besar wartawan melayu, Tan Sri merupakan tokoh yang boleh kami kemukakan surat tebuka ini. Harapan kami sebagai tokoh wartawan ulung yan begitu dihormati di negara ini, Tan Sri dapat menyampaikan apa yang kami kemukakan dalam surat ini kepada pihak atasan demi masa depan dunia kewartawanan di Malaysia.

2. Sebahagian besar wartawan yang bersetuju menulis surat ini pernah mengikuti ceramah dan tunjuk ajar Tan Sri menerusi majlis syarahan, bengkel atau seminar. Menerusinya kami mengetahui tentang apa-apa yang dikatakan sebagai idealisme kewartawanan seperti kebebasan media, ketepatan laporan serta juga kesahihan sumber maklumat. Bagi kami ketiga-tiganya merupakan idealisme yang wajib difahami dan diamalkan oleh semua wartawan dari segala lapangan terutamanya akhbar utama, radio dan televisyen. Ia juga dapat menaikkan status kewartawanan supaya mempunyai integriti dan reputasi yang dihormati.

3. Sejak bulan Julai 1998, kami dapat merasakan angin perubahan dalam kegiatan kewartawanan di tempat kami bekerja. Ini dimulai dengan penyingkiran Datuk Johan Jaafar, Datuk Nazri Abdullah dan Yunus Said. Setiap wartawan yang membuat liputan isu-isu semasa dan politk diarahkan supaya mengemukakan soalan tertentu kepada tokoh tertentu dalam isu tertentu. Kemudian bila pulang dari assignment kami diminta menulis dengan cara yag tertentu untuk memberi kredit kepada pihak tertentu dan memburuk-burukkan pihak tertentu. Kami tidak lagi dibenarkan membuat interpretasi dan analisis sendiri walaupun dalam isu-isu yang tidak berbentuk politik berkaitan dengan tokoh-tokoh tertentu.

4. Kemuncaknya ialah apabila Datuk Sri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kami diarah persis seperti kami ini budak sekolah yang baru belajar menulis. Ada ketika kami dilayani seperti orang yang tidak boleh berfikir dengan hanya diperintah mengikut arahan yang diberikan oleh ketua-ketua kami. Bahan yang perlu ditulis, pendekatan, angle dan caption telah ditentukan oleh ketua-ketua kami. Pada mulanya kami yakin bahawa Datuk Seri Anwar memang bersalah sebab afidavit kes Datuk Nalla yang difakskan dari Pejabat Peguam Negara membongkar "skandal" Anwar. Tetapi kami menjadi semakin skeptik kerana beberapa prosidur dan insiden perundangan agak begitu ganjil, seakan-akan stage-managed oleh pihak-pihak tertentu. Tulisan-tulisan kami sejak akhir-akhir ini ditokok-tambah oleh ketua-ketua kami. Ada banyak berita yang dipalsukan walaupun tulisan awal kami melaporkan yang sebetulnya. Contohnya apa yang kami tulis "boleh" tetapi yang tersiar "tidak boleh"; "mengaku" menjadi "tidak mengaku" dan seumpamanya yang lain. Ini lebih jelas dalam soal bilangan. Contohnya, perhimpunan yang dihadiri 10,000 menjadi 1,000.

5. Akhir-akhir ini, kami tidak dibenarkan pula berbincang sesama wartawan tentang isu Anwar dipejabat. Tegahan itu dikeluarkan oleh Ketua Editor sendiri yang disampaikan secara mulut oleh ketua-ketua kami. Kami dapat menjangkakan tegahan itu bermaksud bagi menghalang kami bertukar-tukar maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku.

6. Sebagai wartawan, kami dilatih sejak di universiti /ITM/institusi kewartwanan lain supaya membuat research tentang apa yagn kami tulis. Research lebih-lebih lagi diperlukan dalam kes dan isu yang besar. Bagaimanapun, ketika ini kami tidak dibenarkan berbuat demikian. Ada juga beberapa orang wartwan yang cuba mengambil daya usaha sendiri. Merka bertemu dan menemuramah beberapa orang yang terlibat secara langsung dengan kes Anwar untuk mengetahui kedudukan sebenar. Tetapi apabila hal ini sampai ke pengetahuan Keta Editor, mereka dimahahi. Ada yang diugut untuk diberhentikan.

7. Tan Sri, sebagai wartawan yang cinta kepada dunia kewartawanan, kami ingin mendedahkan hal ini supaya dunia kewartawanan tempatan dihormati dan mendapat kedudukan yang sewajarnya di sisi masyarakat. Di kebanyakan negara Barat, kerjaya kewartawanan dikenali sebagai kerjaya yang mencabar dan glamour. Maka faktor itu menyebabkan diminati oleh anak-anak muda yang inteligen. Hal itu masih belum berlaku di Malaysia. Masih jauh lagi. Pada pandangan kami, ini kerana tugas wartawan tempatan tidak lebih hanya berperanan melaporkan sahaja apa yang berlaku sebagaimana yang disyarahkan oleh pak menteri atau kenyataan akhbar pihak tertentu, dan tidak bersifat investigatif. Kami maklum tentang adanya pelbagai akta yang tidak membolehkan para wartawan untuk investigate dan menulis isu tertentu yagn sensitif terutama yang membabitkan tokoh-tokoh tertentu.

8. Menyedari hal tersebut, dan demi masa depan dunia kewartawanan yang lebih dihormati, dan demi mengangkat status media tempatan suapya setanding dengan media terkenal dunia, maka kami berharap Tan Sri dapat memahami keadaan dan jiwa kami ketika ini. Kami tidak sanggup lagi menulis untuk menjayakan political framework tokoh-tokoh politik tertentu. Kami sudah tidak tahan lagi dicemuh oleh kawan-kawan, saudara-mara dan masyarakat umum kerana tidak ada integriti dan menjadi pengampu PM. Kami juga tidak mahu lagi dikenali sebagai wartawan yang bertugas dalam media yang menghasilkan propaganda yang tidak lebih nilainya daripada surat layang.

9. Kami merayu dan berharap Tan Sri dapat melakukan sesuatu agar keadaan ini tidak lagi berpanjangan. Tan Sri kami kenali sebagai wartawan dan pejuang, maka maklumkanlah kepada pihak atasan kami di media dan di pejabat menteri supaya mereka juga bertapak atas asas kebenaran. Maklumkan juga kepada PM dan pak menteri yang lain bahawa para wartawan tidak sebodoh yang disangka.

Sekian. Perhatian Tan Sri kami amat hargai. Terima kasih.

Kami yang benar,

 

Wartawan-Wartawan Melayu
(Disebabkan faktor keselamatan, kami terpaksa
merahsiakan senarai nama wartawan yang
terlibat. InsyaAllah kami akan memaklumkannya
kepada Tan Sri sedikit masa lagi)

 
s.k.  Datuk Mohamad Rahmat
        Menteri Penerangan Malaysia

        Datuk Profesor Abu Bakar Hamid
        Pengerusi Bernama

        Datuk Profesor Abdul Latif Abu Bakar
        Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya

        Datuk Abdul Kadir Jasin
        Ketua Editor Kumpulan NST

        Khalid Mohd
        Ketua Editor Kumpulan Utusan Melayu

        Chamil Wariya
        Sistem Televisyen Malaysia