Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN AKHBAR DR. ABDUL RAHIM MD. GHOUSE - FILIPINA
 

Saya sekarang berada di Manila untuk memberi penerangan kepada
masyarakat Filipina tentang perkembangan politik di Malaysia dan
menjelaskan bagaimana  Dr. Mahathir Mohamad melakukan apa saja -
beraja di mata, bersultan di hati - sekadar untuk terus berkuasa.

Semalam saya mengadakan mesyuarat dengan Grand Order of the Knights of
Rizal, persatuan yang memberikan penghormatan tertinggi kepada Saudara
Anwar Ibrahim kerana sumbangan beliau memperkembangan idea dan
perjuangan Jose Rizal di luar Filipina.  Pertubuhan tersebut mempunyai
cawangan di seluruh dunia dan dianggotai oleh sarjana dan negarawan
seperti Raja Sepanyol dan Henry Kissinger.

Semasa saya bermesyuarat dengan Grand Order of the Knights of Rizal,
Senator Blas F. Ople yang juga Chairman of Senate Committee on Foreign
Relations, memberikan "privilege speech" bertajuk "Anwar Ibrahim in
prison, Prometheus bound," di Dewan Senate.  Beliau menyatakan
kekagumannya terhadap kegigihan Saudara Anwar dalam memperjuangkan
kebebasan.  Beliau mengutuk penghinaan yang dilakukan terhadap Anwar
Ibrahim, penahanannya di bawah ISA dan layanan buruk yang diberikan
dibawah jagaan polis.

Beberapa anggota Grand Order of the Knights of Rizal berpendapat
bahawA Dr. Mahathir adalah lebih kejam dari Marcos kerana Marcos tidak
pernah menghina Banigno Aquino dan Aquino tidak pernah di pukul semasa
dalam tahanan.  Bahkan rejim komunis juga tidak pernah menghina
musuh-musuhnya dengan cara yang begitu jijik. Mereka lebih terperanjat
bila mengetahui bahawa yang membelasah Saudara Anwar adalah Ketua
Polis Negara sendiri dan seterusnya berpendapat bahawa orang yang
mengatakan kecederaan Saudara Anwar sebagai
'self-inflicted" sebagai megalomania.

Amat jelas sekali bahawa hari demi hari Dr. Mahathir Mohamad semakin
tersisih.  Bahkan beliau telah menjadi kera sumbang di kalangan
pemimpin alam Melayu iaitu Indonesia dan Filipina, serantau dan dunia.
Jika beliau terus berkuasa Malaysia akan tersisih dan rakyat akan
menderita akibat dari penyisihan tersebut.

Telah muncul kata sepakat dari masyarakat serantau dan juga dunia
bahawa Dr. Mahathir kini lebih merupakan seorang diktator di senja
pemerintahannya.  Setahun yang lalu beliau mungkin dilihat sebagai
wira dan jurucakap Dunia Ketiga tetapi rakyat Indonesia hari ini
melihat Dr. Mahathir berkelakuan saling tak tumpah dengan gelagat
Soeharto di hari-hari terakhir pemerintahannya.  Rakyat Filipina pula
telah menyamakan beliau dengan Marcos.

Dr. Mahathir akan berusaha sedaya upaya agar pandangan masyarakat
serantau dan dunia tidak sampai kepada rakyat.  Beliau akan mengawal
media massa dan segala saluran maklumat dengan seketat-ketatnya.
Tetapi rakyat akan tahu juga, melalui internet, melalui fax, melalui
telepon.

Rakyat laparkan maklumat.  Dr. Mahathir memberikan rakyat propaganda.
Rakyat Malaysia mahu menjadi warga global, tetapi Dr. Mahathir ingin
membawa Malaysia mengasingkan diri bagai katak dibawah tempurung.

Dr. Mahathir akan terus menyekat dan menodai hak rakyat semata-mata
untuk terus berkuasa dan merampok saki baki kekayaan Malaysia untuk
diagih-agihkan kepada anak dan kroninya.  Segala dana yang terdapat
dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Urusan Tabung Haji,
Lembaga Amanah Tabung Angkatan Tentera dan Petronas akan digunakan
untuk menyelamatkan syarikat-syarikat anak-anak dan kroni beliau.

Langkah ini adalah konsisten dengan kenyataan dan pendirian Dr.
Mahathir bahawa kepentingan syarikat-syarikat besar adalah kepentingan
negara.  Ini bermakna Dr. Mahathir telah menyamakan kepentingan negara
dengan kepentingan kroni beliau.

Dr. Mahathir tidak pernah menunjukkan simpati dan rasa prihatin
terhadap petani, nelayan, buruh dan golongan berpendapatan rendah.
Beliau telah merosakkan Dasar Ekonomi Baru yang diasaskan oleh Tun
Abdul Razak dari dasar untuk membela nasib golongan miskin serta
pengagihan saksama kepada dasar untuk mencipta jutawan dan
billionaire.

Sekarang apabila jutawan dan billionaire tersebut sudah dicengkami
hutang, matlamat utama dasar ekonomi Dr. Mahathir adalah untuk
menyelamatkan gerombolan jutawan dan billionaire tersebut sekalipun
dengan menggunakan wang simpanan dari keringat golongan miskin.

Gerakan reformasi yang dilancarkan oleh Saudara Anwar Ibrahim
meletakkan keadilan pengagihan sebagai kunci kepada pembentukan
masyarakat madani. Dr. Mahathir adalah penghalang utama kepada
pembentukan masyarakat madani.

Saudara Anwar dan lain-lain tahanan ISA perlu dibebaskan dengan serta
merta dan tanpa syarat.  Selagi Saudara Anwar dan lain-lain tahanan
ISA tidak dibebaskan, selagi itu Malaysia akan terus terpencil dan
diasingkan oleh masyarakat antarabangsa.

Segala masalah dan keperitan yang dideritai oleh Malaysia hari ini
adalah angkara   Dr. Mahathir.  Beliau mendakwa untuk menyelamatkan
Malaysia.  Tetapinya beliau adalah laksana tikus yang memperbaiki
labu.  Segala yang beliau lakukan membawa Malaysia semakin hampir
kepada kehancuran. Dr. Mahathir perlu undur.
 
 

(digitized signature)
Dr. Abdul Rahim Md. Ghouse
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO dan
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang
6 Oktober 1998 - Manila, Filipina