Make your own free website on Tripod.com
28 FEBRUARI 1999

KENYATAAN AKHBAR ANGKATAN PEMUDA PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)

TENTANG PENGAKUAN BEKAS KETUA POLIS NEGARA, A. RAHIM NOOR

Angkatan Pemuda PRM memandang serius akan perkembangan terbaru berhubung pengakuan Tan Sri Abd Rahim Noor, bekas Ketua Polis  Negara (KPN) bahawa dia telah mencederakan Datuk Sri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana
Menteri(TPM).

Beberapa isu penting kami mahu ketengahkan berhubung perkara ini:

Pertama: Dengan tiada niat untuk bersikap prejudis kepada Suruhanjaya Penyiasat yang sedang menjalankan prosiding berhubung kecederaan yang dialami oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim, Angkatan Pemuda PRM mendesaksupaya Peguam Negara memulakan kerja-kerja awal di segi undang-undang untuk mendakwa bekas KPN itu ;

Kedua: Imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah tercemar dan terjejas teruk dengan perlakuan penganianyaan yang dilakukan sendiri oleh KPN ketika sedang berkuasa itu ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim. Jika  bekas TPM diperlakukan secara sungguh tidak berperikemanusiaan, persoalannya ialah bagaimana dengan rakyat biasa. Apa jaminan mereka tidak dianianya sedemikian rupa jika berada dalam tahanan polis? Justeru itu, Angkatan pemuda PRM menyeru  Suruhan jaya Penyiasat yang ada sekarang supaya di dalam laporannya nanti mengemukakan syor dan cadangan-cadangan untuk tindakan PDRM bagi memulihkan keyakinan rakyat. Imej polis sebagai satu instrumen negara yang berwibawa, adil, amanah, dan bertanggungjawab perlu ditegakkan semula.

Ketiga: Datuk Seri Abdullah Badawi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri perlu bersikap lebih proaktif sekarang bagi membuat reformasi di dalam PDRM. Retorik wajah polis yang mesra-rakyat tidak ada makna jika perubahan yang  sebenarnya tidak dilakukan di dalam PDRM; dan akhirnya

Keempat: Angkatan Pemuda PRM menuntut Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan bekas Menteri Dalam Negeri ketika Datuk Seri Anwar dicederakan itu supaya menuntut maaf secara terbuka kepada bekas TPM itu dan keluarganya.  Perdana Menteri  hendaklah  bersikap berani di bawah doktrin tanggungjawab bersama dalam sistem pemerintahan negara untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya tentang perbuatan ganas dan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh bekas KPN ke atas  bekas TPM itu. Susulan paling hormat yang boleh dilakukan oleh Dr  Mahathir Mohamad selepas itu ialah meletakkan jawatannya sekarang juga sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tuntutan Angkatan Pemuda PRM supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan disokong oleh hujah-hujah berikut: Pertamanya Dr Mahathir telah bersikap prejudis terhadap Datuk Sri Anwar Ibrahim yang teranianya dengan berkata tanpa usul periksa bahawa bekas TPM itu mungkin telah mencederakan dirinya sendiri. Kedua,dakwaan beliau itu ternyata palsu apabila Tan Sri Rahim Noor sekarang mengaku dia yang mencederakan bekas TPM itu.

Persoalan undang-undang sekarang, apakah Perdana Menteri cuba bercakap bohong atau cuba menyelewengkan fikiran rakyat ketika beliau membuat pernyataan  bekas TPM mungkin mencederakan dirinya sendiri? Jika Di Amerika Syarikat terdapat prosedure untuk memecat seorang President jika berbohong, Angkatan Pemuda PRM mendesak semua pihak yang terlibat dalam segi undang-undang baik hakim-hakim, Majilis Peguam, Parlimen dan Peguam  Negara untuk mengkaji Perlembagaan Malaysia adakah peruntukan sedemikan dimaktubkan? Jika tidak ada, maka kami Pemuda PRM menyeru reformasi dilakukan di dalam tubuh undang-undang dan Perlembagan negara bahawa Perdana Menteri yang berbohong dan menghalang perlaksanaan undang-undang supaya didakwa dan jika sabit dipecat dari jawatannya.
 

Hassan Karim
Ketua Pemuda PRM