Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN AKHBAR KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
 

Rakyat  Malaysia sesungguhnya sedang berhadapan dengan bahaya besar di dalam sejarah moden negara. Kegawatan yang dialami kini sudah sampai ke kemuncak dengan krisis kepimpinan yang serius dan merbahaya. Rakyat sedang berhadapan dengan salahguna kuasa,  kronisme dan nepotisme, pencabulan hak dan keadilan rakyat dan penghakisan demokrasi di bawah
kediktatoran Dr Mahathir.

Bahaya besar ini bukan sahaja disedari oleh sebahagian besar rakyat Malaysia malah oleh masyarakat antarabangsa. Tidak ada apa lagi yang boleh disembunyikan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) apabila semua pekung tersebut terdedah dengan kegawatan politik ekoran pemecatan bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Para pemimpin UMNO dan BN jangan cuba memperbodohkan rakyat dan masyarakat antarabangsa dengan memutarbelitkan slogan patriotisme dan ancaman campurtangan asing. Kenyataan Al Gore dan George Soros hanyalah lakonan pakatan sekular antarabangsa bersama dengan Dr Mahathir untuk memperbodohkan rakyat dan umat Islam.

Rakyat Malaysia memang menolak campurtangan asing di dalam negara ini. Rakyat seluruhnya memang tidak akan membiarkan negara ini dijajah kali yang kedua. Semangat patriotik ini memang sentiasa membakar di dalam dada rakyat. Namun patriotisme, kecintaan untuk mempertahankan negara bukan sekadar terhadap ancaman luar tetapi termasuk juga ancaman dalaman negara iaitu pencabulan hak-hak dan amanah rakyat, penyalahgunaan kuasa dan diktatorisme yang kini ternyata menjadi identiti pemerintahan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Setelah berkuasa terlalu lama, tujuh belas tahun, Dr Mahathir membina pemusatan kuasa di tangannya. Bermula dengan krisis pindaan perlembagaan negara pada 1983 diikuti dengan kes pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988, menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sesuka hati terutama terhadap pihak-pihak yang mengancam kuasa politiknya, membina elit jutawan yang menjadi kroninya, menghimpun kekayaan untuk suku-sakatnya dengan manipulasi sektor penswastaaan negara, membiarkan tanah yang merupakan aset strategik negara dimiliki oleh warga asing melalui pindaan Kanun Tanah Negara pada 1985 dan selepas itu, membina projek-projek mega yang menghakis dana rakyat dan negara, menjatuhkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara, mempersendakan institusi ulama dan kuasa mufti, mempersendakan hukum Islam dan amalan-amalan Islam, campurtangan politik di dalam sektor perbankan yang menjadi salah satu punca kejatuhan institusi perbankan tempatan semasa kegawatan ekonomi serantau, menyekat kebebasan dan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang telus dan benar dengan mengawal dan mengekang institusi media massa utama negara, mencampuri urusan kehakiman negara, menyalahgunakan pasukan keselamatan negara untuk menindas rakyat yang bangkit meminta keadilan dan hak mereka dan melaksanakan pendekatan-pendekatan yang penuh curiga di dalam apa yang didakwanya upaya menyelamatkan ekonomi negara.

Senarai panjang dan jijik penyelewengan kuasa oleh Dr Mahathir ini cuba ditutup dengan isu patriotisme. Berapa banyak wang dari sumber yang tidak diwartakan digunakan oleh Dr Mahathir untuk kempen pembinaan dan pemulihan imejnya  di sepanjang tempoh kekuasaan. Sejarah telah merekodkan bahawa Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri yang mempelopori demontrasi rakyat sejak awal permerintahannya berhadapan dengan isu Krisis Pindaan Perlembagaan Negara pada 1983. Ribuan rakyat dikerah untuk turun membawa sepanduk-sepanduk memuji Dr Mahathir. Rakyat diajar untuk mengarak gambar-gambar beliau sebagai upacara pemujaan massa seorang pemimpin  negara. Media massa utama dikerah membina pemikiran umum yang penuh kekaguman kepadanya. Senario ini terus berlangsung di sepanjang tujuh belas tahun kekuasaan Dr Mahathir. Strategi tersebut digunakan dengan berjaya oleh Dr Mahathir terutama apabila beliau berhadapan dengan masalah politik yang menggugat kedudukannya ekoran tindakan-tindakan jeleknya sendiri.

Hati rakyat yang celik menyedari bahawa tindakan-tindakan politik Dr Mahathir tersebut adalah jelmaan dan pengulangan tindakan-tindakan politik yang dilakukan oleh para pemimpin diktator di seluruh dunia. Korea Utara di bawah kekangan Kim II Sung, Libya di bawah cengkaman Muammar Ghadaffi, China di bawah penindasan Parti Komunis, Iraq di bawah kezaliman Saddam Hussien - kesemuanya membawa senario pembinaan imej seorang pemimpin diktator yang mengeksploit sentimen rakyat untuk membenci kuasa asing dengan tujuan untuk mengekalkan kuasa mereka secara zalim. Rakyat dikerah turun ke jalanraya dan mengusung gambar-gambar pemimpin diktator ini untuk memberi gambaran palsu kepada masyarakat antarabangsa kononnya mereka masih mendapat sokongan padu rakyat untuk memerintah.

Keadilan kepada rakyat tidak akan dapat dikembalikan selagi Dr Mahathir terus berkuasa. Penyalahgunaan wang rakyat dan negara tidak mungkin dapat dihentikan selagi UMNO dan BN terus memegang tampuk kuasa kerajaan. Suara rakyat akan terus dikekang jika Dr Mahathir dan para pemimpin BN terus menerus diberi mandat memerintah Malaysia. Manfaat ekonomi negara akan terus dibolot oleh kroni dan suku-sakat kapitalis yang dibina oleh Dr Mahathir. Politik wang akan terus menjadi pemandu halatuju politik negara jika Dr Mahathir dan UMNO/BN tidak ‘dijatuhkan’.

Rakyat Malaysia kini ternyata matang menghadapi perubahan politik negara. Minat yang tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap PAS mutakhir ini menjadi bukti kepada perubahan yang dikehendaki oleh rakyat. Rakyat mesti menggunakan kesempatan ini untuk menggantikan kerajaan melalui proses pilihanraya. Jika tidak Dr mahathir akan meningkatkan penindasannya terhadap rakyat jika beliau terus diberi mandat untuk berkuasa.

Demi menyelamatkan rakyat dan negara Malaysia, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menuntut supaya :

1. Dr Mahathir meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri Malaysia dengan serta merta dan pilihanraya umum yang bebas dan adil mesti diadakan segera bagi membolehkan rakyat menukar kerajaan;

2. Pindaan perlembagaan negara perlu dibuat supaya ditetapkan tempoh kekuasaan seseorang memegang jawatan perdana menteri tidak melebihi dua penggal parlimen bagi mengelakkan seseorang tokoh pemimpin membina empayar kuasa dan ekonomi yang menjerumuskan dirinya dan negara ke kancah penyelewengan dan kehancuran;

3. Media massa utama negara dibebaskan daripada cengkaman parti memerintah supaya rakyat mendapat maklumat yang adil dan berkualiti;

4. Pasukan polis bertindak secara profesional menghadapi kebangkitan rakyat yang menuntut kebebasan bersuara secara aman.

Sekian.

Hj. Abu Bakar bin Chik
Ketua DPP Pusat