Make your own free website on Tripod.com
Kenyataan Dato' Seri Najib Tun Razak, Menteri Pendidikan mengenai  penglibatan mahasiswa di dalam gerakan demonstrasi anti-kerajaan perlu disanggah. Beliau menyatakan bahawa hanya segelintir mahasiswa yang terlibat di dalam gerakan itu dan mereka yang terlibat adalah kerana 'suka-suka' dan sifat ingin tahu. Dato' Seri Najib ternyata meremehkan prinsip dan idealisme perjuangan mahasiswa. Kenyataan beliau beranggapan bahawa mahasiswa tidak mempunyai arahtuju perjuangan, amat berkongkong pemikiran mereka dan gentar di dalam menyatakan hasrat dan pendirian benar.
 

Ternyata Dato' Seri Najib terkebelakang di dalam maklumat beliau mengenai gerakan pelajar. Tatkala majoriti pelajar universiti sedar akan tanggungjawab mereka dan isu muasir yang sedang melanda negara ini, beliau ternyata meremehkan kedudukan mahasiswa sebagai tunjang pelapis intelektual negara. Ini adalah satu penghinaan besar kepada golongan mahasiswa. Dato' Seri Najib bukan sekadar tidak peka dengan the undercurrent sentiment, malah merperkecilkan peranan dan tanggungjawab mahasiswa sebagai penerus agenda refomasi negara. Beliau juga terlalu berpandangan sempit dalam menilai agenda besar mahasiswa.
 

Ini perlu dilihat sebagai cabaran kepada mahasiswa. Kenyataan Menteri pendidikan itu bersifat politik dan tidak matang. Idealisme mahasiswa bukan sekadar tersemat pada gulungan ijazah semata-mata. Kita tidak menggarap ilmu di gedungnya tanpa prihatin dengan keadaan semasa. Mahasiswa juga tidak menuntut ilmu dengan mempunyai agenda peribadi ataupun kepentingan-kepentingan tertentu. Menteri pendidikan kita ternyata gagal menggarap falsafah pendidikan negara. Beliau hanya
melihat universiti sebagai kilang melahirkan pekerja-perka industri yang tidak menghiraukan masa depan agama dan negara. Ini adalah tidak matang dan terlalu simplistik.
 

Justeru mahasiswa harus terus berjuang. Kita harus memahami isu yang berlaku, mendapatkan maklumat yang benar dan bertindak melalui kesatuan idealisme dan strategi. Sementara kecemerlangan ilmu diteruskan, keprihatinan dan keterlibatan mahasiswa penting di dalam membentuk generasi yang lebih relevan dengan masa hadapan. Hanya melalui ini maka kita akan dibimbing Tuhan dan pandangan remeh mengenai mahasiswa dapat dikikis. Salam reformasi!!!.