Make your own free website on Tripod.com
SALAHLAKU MAHATHIR (Bhg. 3) sumbangan : Steffan Khinge & Associates

7. Meranapkan Ekonomi Negara

Asas-asas pentadbiran ekonomi yang mantap telahpun wujud sebelum Mahathir mengambilalih tampuk pemerintahan negara. Mahathir memperkembangankan lagi asas-asas ini dengan melakukan perubahan paradigma. Mahathir mahukan Malaysia menuju ke arah tahap negara perindustrian seberapa segera. Dia melihat negara Jepun sebagai contoh terbaik sebuah negara Asia yang mampu bangun menjadi kuasa ekonomi yang perkasa. Mahathir ingin melakukan reformasi ala Maharaja Meiji.

Maka dilancarkan kempen Pandang Ke Timur untuk menjayakan program modenisasi Malaysia. Sebenarnya negara Matahari Terbit ini sudahpun melaksanakan usaha-usaha untuk mempergiatkan dan memperluaskan kemantapan kuasa ekonomi sebelum Mahathir menjadi PM lagi. Kilang-kilang Jepun telahpun beroperasi di Malaysia sejak tahun 1970an. Perdana Menteri Jepun, Tanaka pernah membuat lawatan ke Malaysia pada zaman Allahyarham Tun Razak untuk mempromosi perindustrian Jepun. Inisiatif Mahathir ini bukanlah sesuatu yang baru. Bezanya Mahathir cuba menjadikan Jepun sebagai model utama pemodenan negara. Rakyat Malaysia mahu dijadikan wira Samurai yang bersemangat juang yang tinggi.

Akan tetapi wawasan Pandang Ke Timur Mahathir menjadi kabur apabila disedari Jepun kurang berminat dan tidak benar-benar ikhlas membantu pemodenan Malaysia. Pemindahan teknologi Jepun kepada anak watan terlalu perlahan. Kalau adapun pemindahan yang berlaku selalunya teknologi yang sampai ke sini sudah tidak digunakan lagi di Jepun. Maksudnya teknologi tersebut sudah lapuk. Sebagai contoh usahasama Proton-Mitsubishi dalam pemindahan teknologi pembuatan enjin kereta nasional yang lembap memaksa Proton mencari rakan kongsi yang lain. Proton tertekan apabila enjin-enjin untuk kereta nasional terjejas berikutan berlakunya gempa bumi di Jepun beberapa tahun lalu. Menyedari kepincangan ini Proton menjalin kerjasama dengan Citroen yang kemudiannya menghasilkan kereta Proton Tiara. Namun begitu model ini dianggap sudah "outdated" dan perkara ini diakui sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Proton, Allahyarham Tan Sri Yahaya. Pencapaian terhad polisi Pandang Ke Timur menyebabkan Mahathir sudah tidak berminat lagi mencanang keliling dunia reformasi ala Meiji ini.

Kemelesetan ekonomi global melanda negara paling teruk antara 1985-87. Mahathir meminta pertolongan dari kawan sekampungnya, Daim untuk memulihkan ekonomi negara. Sebenarnya Daim bukanlah begitu berminat untuk memegang jawatan Menteri Kewangan. Daim mempunyai alasan peribadi apabila bersetuju menolong kawannya, Mahathir. Kemelesetan ekonomi tersebut menyebabkan kepentingan bisnes Daim turut terjejas. Saham-saham syarikat Daim susut apatah lagi berlakunya kejatuhan pasaran saham dunia pada Oktober 1987. Daim mesti menyelamatkan hartabendanya dan cara terbaik sekai ialah dengan menyertai kabinet Mahathir. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh Daim untuk mengolah polisi dan program merangsang pertumbuhan ekonomi. Tidak hairanlah apabila ekonomi dan kepentingan bisnes Daim pulih maka Daim pun memohon mengundur diri dari kabinet. Masanya tiba untuk mengaut seberapa banyak keuntungan yang boleh bagi diri Daim. Lagipun Daim sendiri mengakui bahwa dia hanya berminat membuat duit.

Strategi Mahathir-Daim ialah dengan memberikan tumpuan kepada projek-projek prasarana. Tumpuan kepada sektor swasta menjadikan sektor itu sebagai "engine of growth". Pendekatan fleksible dan menarik berjaya meyakinkan pelabur-pelabur asing untuk datang ke Malaysia. Kadar buruh yang kompetitif, insentif perlepasan cukai dan kemudahan prasarana yang baik membawa negara ke arah jalan pemulihan. Akan tetapi rangsangan ekonomi menggunakan pendekatan pengaliran modal yang besar tidak dapat diteruskan buat selama-lamanya. Sudah menjadi sunnah ekonomi bahwa setiap kepesatan ekonomi pasti akan merasakan penurunan. Putaran ini selalunya berlaku setiap 10 tahun. Kemelesetan 1985-87 adalah jelmaan putaran ini.Tanda-tanda ekonomi akan "overheat" sudah mula kelihatan pada awal tahun 1990an. Ekonomi yang berkembang terlalu pesat pada kadar sekitar 8 peratus selama 7-8 tahun berturut-turut terutamanya sektor hartanah sudah mula menampakkan ciri-ciri merudum.

Sektor hartanah berkembang dengan begitu pesat sekali menyaingi zaman pra-meleset 80an. Pemaju-pemaju berlumba-lumba membina projek perumahan mewah dan komersial yang mega. Bermacam-macam projek seperti KLCC, KLIA, Putrajaya, KL Linear City, STAR LRT, Monorel dll bercambah bagaikan cendawan selepas hujan. Sekiranya projek-projek ini mampu dibiayai oleh pihak swasta tanpa bantuan kewangan dari tabungan rakyat seperti KWSP dan Tabung Haji, sila teruskan jika mendatangkan manfaat kepada umum. Anehnya ada pihak swasta memohon peruntukan dari tabungan rakyat. Kalau syarikat berkenaan tidak berupaya mencari sumber kewangan dengan sendiri, berikanlah projek itu kepada syarikat yang tidak mengharapkan bantuan kerajaan. Keadaan semakin meruncing dengan keghairahan pihak perbankan memberikan pinjaman mega tanpa banyak soal kepada syarikat-syarikat yang terbabit dengan projek-projek besar ini. Lihatlah nasib malang yang menimpa Sime Bank dan Bank Bumiputra. Kalau dulu ekoran skandal BMF, Bank Bumi telah diselamatkan oleh Petronas. Manakala kali ini ada bank lain yang hendak bergabung dengan Bank Bumi. Apa agaknya nama baru gabungan ini - Bank Bumi-Commerce? Pemaju hanya berminat dengan projek-projek raksaksa kerana pulangannya pun raksaksa. Kononnya memadailah pihak kerajaan (bukan Mahathir) sahaja yang membina rumah kos rendah untuk rakyat. Mahathir sendiri ghairah mempromosi projek-projek mega ini. Tinggallah Sdr Anwar Ibrahim bersendirian membela nasib rakyat berpendapatan rendah.

Mahathir terlalu yakin bahwa dia dapat melawan sunnah ekonomi meskipun pakar-pakar ekonomi sudah menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan "overheating" ekonomi berlaku. Mahathir tidak peduli itu semua sebab dia mampu menyimpang dari "economic wisdom". Kalau Ronald Reagan mengamalkan pendekatan "Reaganomics", Mahathir mungkin berbangga dengan "Recalcitranomics". Tidak menghairankanlah apabila disoal mengenai projek raksaksa Putrajaya, Mahahtir menjawab sambil tersenyum mengatakan kerajaan ada peruntukan untuk projek itu. Agaknya Mahathir fikir duit boleh dipetik dari pokok!

Sistem tender tertutup yang diamalkan oleh Mahathir mengakibatkan projek-projek mega hanya dibolot oleh mereka yang rapat dengan pemerintah. Sesiapa sahaja boleh mengemukakan kertas cadangan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan jika dipersetujui oleh EPU maka projek itu bolehlah dilaksanakan. Ini cuma pada teorinya sahaja kerana telah berlaku penipuan di dalam proses ini sehingga EPU disindir sebagai Economic Photostating Unit. Beberapa ide dan kertas kerja telah diciplak oleh syarikat-syarikat besar dan dipersembahkan sebagai hasil usaha mereka sendiri. Ada juga kes di mana pihak yang mengemukakan cadangan asal terpaksa menerima rakan kongsi dari kalangan korporat bernafsu besar. Anak Mahathir sendiri seperti Mirzan didakwa melakukan penyelewengan seumpama ini. Masakan semua ini boleh berlaku tanpa campurtangan orang dalam. Apatah lagi kebanyakan salahlaku tersebut bermaharajalela semasa kepimpinan bekas ketua EPU yang dinaikkan taraf kepada Gabenor Bank Negara. Bagi Mahathir ini semuanya bukan isu asalkan mamak tongkang dari EPU ini mampu menjayakan wawasannya.

Menurut hukum-hakam ekonomi bekalan wang dalam pasaran adalah terhad. Tindakan menambah bekalan ini melalui "printing money" akan menyebabkan nilai matawang sesuatu negara jatuh. Penjajah Jepun sebelum merdeka telah mencetak wang baru dengan banyaknya. Memang rakyat ada banyak wang yang disimpan bertimbun-timbun di dalam almari tetapi wang ini tidak laku. Hukum-hakam ekonomi juga mewajibkan bahwa apabila banyak wang keluar dari negara lambat laun akan berlaku kemelesetan ekonomi. Pembelian jentera-jentera berat dari seberang laut, penggajian pegawai-pegawai dagang dari negara maju seperti AS, UK, Australia, Jepun, Korea Selatan dsb dan pengiriman wang setiap bulan ke negara asal oleh pekerja-pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia, Filipina dll. menyebabkan ringgit berada dengan banyaknya di luar negara. Untuk memastikan keadaan tidak meleset perlu ada keseimbangan di antara "savings" dengan "consumption" dan "export" dengan "import". Kemewahan yang dikecapi oleh negara melalaikan kita dan menimbulkan perasaan angkuh. Ramai dari kita yang memikirkan seolah-olah apa sahaja yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang memberangsangkan. Seolah-olah kita memilik sentuhan emas (the Midas touch).

Pasaran saham di BSKL melonjak-lonjak melampaui 1000 mata hasil dari kemasukan modal asing dari luar negara. Dana-dana asing suka melabur di Malaysia. Bagi mereka di mana tempat yang boleh mengaut untung berlipatganda di situlah mereka akan tuju. "Hot money" ini menggembirakan pelabur-pelabur tempatan yang menumpang gembira. Keuntungan besar diperolehi hasil jual beli saham di pasaran yang "bullish". Keuntungan segera "atas angin" ini menukar gaya hidup ramai pemilik saham. Ada juga orang-orang yang sudah masuk Liga-J yakni Liga Jutawan. Mahathir pasti tersenyum lebar melihat fenomena ini. Impiannya mencipta sekelompok juwatan Melayu semakin menjadi kenyataan. Mahathir bangga kerana ada anak-anaknya sudah menjadi ahli Kelab Juwatan Melayu yang tidak rasmi ini.

Malang bagi Mahathir dan Malaysia bulan madu ini tidak berkekalan. Fasa penurunan ekonomi terpaksa berlaku akibat kepincangan struktur ekonomi negara kita. Perbelanjaan besar di dalam sektor-sektor kurang produktif, pengaliran matawang besar-besaran yang berterusan, pinjaman mega tanpa sekatan, penurunan simpanan akibat sikap berbelanja dengan boros dll mengundang malapetaka. Bagaikan retak menanti belah sahaja. Pelabur matawang nampak kesemua kepincangan ini dan mengeksploitnya dengan maksima mengaut keuntungan besar-besaran. Mimpi indah Mahathir terhenti dan dia terjaga dari lamunan dengan sungguh berang sekali. Terasa basah kuyup gaun tidur baldu yang dipakainya. Rupa-rupanya tongkang mewahnya yang sarat dengan harta karun sudah bocor dan dinaiki air!

Mahathir segera memburu musuh yang melaksanakan operasi sabotaj ala komando. Akhirnya Mahathir bertemu dengan seorang jutawan Yahudi warga Amerika bernama George Soros. Sepantas kilat Mahathri menuding jari kepada Soros menyalahkannya melakukan spekulasi terhadap matawang negara-negara Asia Timur. Katanya Soros telah menghancurkan semua kemajuan yang dicapai semenjak Merdeka dalam sekelip mata. Yang anehnya tidak pula beribu-ribu pekerja hilang pekerjaan serta-merta. Tidak pula kedai-kedai makan hanya menjual ubi kayu sebagai hidangan. Anak-anak Mahathir dan kroni-kroni tidak pula terpaksa mengayuh basikal Raleigh pergi ke pejabat masing-masing. Bila Mahathir mengadu kepada Amerika, jawapannya "Soros adalah seorang warganegara yang dihormati". Kalaulah boleh mungkin Mahathir mahukan Soros diberkas seperti Amerika menangkap bekas diktator Panama, Manuel Oriega.

Lagi kuat Mahathir menghentam Soros dan rakan-rakan spekulatornya, semakin menurun pasaran saham dan nilai ringgit. Para penganilsa saham yakin indeks KLSE akan melantul naik apabila mencecah tahap 750 mata kerana "technical rebound" mesti berlaku. Indeks KLSE turun lagi bagaikan roller coaster di Genting Highlands. Para penganalisa pun berhenti memberi telahan. Mahathir terus mengangakan mulutnya besar-besar menyalahkan Yahudi. Gerakan Yahudi di Amerika mengenakan tekanan ke atas ahli Kongres. Maka timbul usul di Kongres Amerika supaya Mahathir meminta maaf atau meletakkan jawatan. Mahathir terpaksa menelan muntahnya dan berpura-pura menafikan "kunonnya" dia ada menghina Yahudi. Pegawai-pegawai bank menerima e-mail dari luar negara dengan ucapan penuh ikhlas, "See you at 500!". Indeks KLSE pun menjunam ke tahap 500 mata.

Mahathir tidak dapat tidur barangkali melihat "tiger economies" seperti Korea Selatan, Thailand dan Indonesia tiba-tiba mengalami sakit kronik. Penyakit ini lebih dahsyat dari jangkitan virus HIV yang boleh mengakibatkan AIDS. Seorang demi seorang ketua negara tumbang dan berlaku perubahan pucuk pimpinan. Mahathir ketakutan melihat rakan karibnya Bapak Suharto mengundur diri selepas rusuhan 14 Mei 1998. Terbayang di depan mata Mahathir hantu 13 Mei 1969 yang menjatuhkan Almarhum Tunku. Kalau pada 1969 Mahathir mendesak Tunku meletak jawatan apa pula nasib dirinya sendiri ketika ini? Mungkinkah "Brutus" yang Mahathir bayangkan suatu ketika dahulu akan bangun menikamnya dari belakang? Nyawa politik Mahathir semakin terancam. Mr. Recalcitrant enggan memakan ubat-ubatan Dr. IMF yang dibawa oleh timbalannya. Mahathir melihat ubat yang dia terpaksa terima ini bagaikan racun yang boleh membawa maut.

Maka dipanggil balik kawan setianya, Daim untuk menolongnya. Seruan Mahathir ini mirip permintaan King Arthur kepada ahli sihir, Merlin untuk memberikannya pedang sakti, Excalibur. Mahathir lega kerana Daim dengan sukahatinya menerima pelawaan rakannya. "Kecik tapak tangan nyiru aku tadah bagi kat hang", agaknya balas Daim. Mahathir tahu Daim pun sedang sakit kerana bisnesnya terganggu akibat kemelesetan ekonomi terbaru ini. Macam bertemu kembali dua orang rakan lama dalam majlis nostalgia reunion bekas murid-murid. Lagipun kalau hendak menari "tango" mesti ada dua orang penari. "Just like old times", kata Orang Putih.

Daim tidak melengahkan masa menolong kawannya dari Kampung Seberang Perak. Ambil hutang-hutang ceti dengan duit rakyat, tutup semua pintu dan tingkap rumah dan halau keluar "anak derhaka" bernama Anwar - Daim pesan pada Mahathir. Maka ditubuhkan Danaharta dan Danamodal untuk menyelamatkan kroni-kroni mereka dari diisytihar muflis. Wang simpanan rakyat mahu digunakan supaya anak-anak emas ini tidaklah terpaksa merempat meminta sedekah di kaki lima. Dijemput dengan permaidani merah firma Yahudi Solomon Bersaudara untuk menolongnya mengatasi krisis ekonomi negara. Mahathir kemudiannya menjelelajah seluruh negara (macam dia selalu buat setiap kali ada krisis) sepantas kilat seperti dikejar raksaksa Godzilla memberikan penerangan. Mahathir membayangkan perlunya melaksanakan langkah-langkah drastik. Gabenor dan Timbalan Gabenor Bank Negara menghantar surat perletakan jawatan. Timbalannya yang setia dipecat beberapa hari selepas berkongsi pentas di Pulau Pinang menyambut Hari Kemerdekaan. Kasihan sungguh nasib Pak Syeikh yang tidak habis-habis melaungkan ikrar taat setia kepada ketuanya yang Mahazalim hingga ke nafas politiknya yang akhir.

Media talibarut Mahathir cuba memperdaya rakyat dengan mengandaikan seolah-olah pemecatan Anwar dan langkah kawalan modal telah mendapat respons yang positif dari pasaran. Sungguh hebat kebijaksanaan Mahathir dapat menstabilkan ekonomi hanya dengan "kuisan pena" laung media tempatan. Kalaulah penyelesaiannya sebegitu mudah hanya dengan "stroke of a pen", mengapa tidak ditetapkan kadar tukaran matawang kepada RM 2.50 bagi setiap dolar Amerika seperti sebelum kegawatan bermula? Dunia pasti mengkagumi kebijaksanaan Mahathir kalau ditetapkan RM 1 bagi setiap dolar Amerika! Murah sedikit jadinya harga jet eksekutif peribadi Mahathir. Kalau jet Presiden Amerika dinamakan Air Force One, mungkin rakyat boleh memanggil jet Mahathir ini "Recalcitrant One". Kebelakangan ini penganalisa menganggarkan nilai sebenar ringgit sekarang ini ialah RM 3.50 berbanding RM 3.80 yang ditetapkan. Langkah kawalan modal dikenakan menyebabkan dana asing menarik keluar wang mereka. Ayuh kita ramai-ramai pergi ke Pakistan kata salah seorang mereka ini. Nilai ringgit dan pasaran saham tidak menampakkan bayang mahu pulih segera. Jual beli KLSE kurang rancak dengan dagangan didahului pelabur institusi tempatan. Apa yang Mahathir dan Daim lakukan sebenarnya hanyalah sekadar menutup lubang-lubang dalam tongkang mewah mereka supaya tidak karam. Akan tetapi tongkang ini hanya terapung sahaja tanpa mampu bergerak ke mana-mana.

Dunia sudah banyak berubah. Ini bukannya zaman mesin taip dan teleks tetapi era cetusan teknologi maklumat. Masyarakat dunia progresif sedang rancak membuat reformasi untuk melangkah ke alaf baru. Teori-teori konvensional giat dikaji semula. Ide-ide lapuk sudah dicampakkan ke dalam tong sampah. Hanya Mahathir (dan Daim) saja yang masih berpegang kepada strategi lamanya. Dinosaur adalah kumpulan binatang gergasi yang menghuni bumi di zaman silam tetapi perubahan melenyapkan spesis itu. Mungkin sejarah akan merakamkan era Mahathir setanding dengan riwayat spesis yang telah lama pupus itu.

8. Mencemar Imej Malaysia Di Arena Antarabangsa

Mahathir seorang pemimpin berjiwa besar. Dia cukup gemar melancarkan projek-projek mega supaya disanjungi oleh rakyat jelata. Antara projek-projek Mahathir ialah Tiang Bendera Tertinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas, Stadium Nasional di Bukit Jalil, Dataran Lang di Langkawi yang mempunyai patung burung helang yang amat besar, mendaki Gunung Everest, terjun ke Kutub Utara dan projek raksaksa Putrajaya. Harapannya semoga sejarah akan mengabadikannya sebagai pemimpin Malaysia yang agung.

Di arena antarabangsa rakyat Malaysia merasa bangga dengan keupayaan Mahathir berucap di hadapan Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kita kagum dengan persembahan Mahathir. Dia telah menunjukkan kepada dunia bahwa "Malaysia Boleh" walaupun mungkin pada hakikatnya apa yang hendak diketengahkan ialah Mahathir saja yang boleh.

Mahathir mengambil kesempatan membidas Barat dan NATO. Mahathir mencemuh Barat dengan berkhutbah mengenai "double standards" mereka menangani isu-isu antarabangsa seperti pembersihan etnik di Bosnia. Mahathir juga lantang mengkritik dasar-dasar rejim apartheid di Afrika Selatan. Mahathir tidak pulak teragak-agak "campurtangan" dengan perang saudara di Somalia. Mahathir juga berhujjah mengenai pandangan ekonominya yang tidak konvensyenal. Mahathir menjadi jurucakap tidak rasmi "tiger economies" di Asia Timur. Maka Mahathir pun boikotlah sidang APEC di Seattle, USA dengan alasan ianya "a waste of time". Mahathir melenting bila Paul Keating mengucapkan perkataan "recalcitrant" di atas pemboikotan itu. Riuh rendah penyokong-penyokong Mahathir menghentam Keating. Pendek kata, bagi Mahathir dia seorang sajalah yang betul manakala yang ramai itu sentiasa salah.

Dunia Barat membiarkan Mahathir bersuara demi mendokong prinsip-prinsip demokrasi sejagat. Memang adat orang Putih begitu, di depan kita kalau dia memuji pasti pujian menggunung tinggi diberikan. Kalau di belakang lain pula ceritanya. Maka mereka membiarkan Mahathir cakap bersembur-sembur air liur. Tiada tindakan perlu dikenakan ke atasnya seperti tahanan tanpa bicara di bawah ISA. Mahathir tidak perlu memohon permit untuk bercakap. Media asing memberi liputan meluas kepada pandangan-pandangan Mahathir. Media asing tidak perlu memperbaharui lesen setiap tahun seperti di Malaysia. Biarlah Mahathir bercakap sepuas-puasnya kerana itu hak dia. Barat hanya tersenyum lebar melihat gelagat Mr. Recalcitrant ini. Itulah imej Malaysia yang dijaja oleh hero cerita tamil Malaysia, MGR kita.

Hidup ini ibarat roda. Kalau dulu semasa hebat berkhutbah kepada dunia Mahathir berada di atas, sekarang tiba giliran Mahathir tergelincir ke bawah. Barat sekadar "memulang paku buah keras" apabila "tiger economies" dilanda kegawatan ekonomi yang parah. Apabila Mahathir melatah menuduh konspirasi Yahudi (Soros), Amerika buat endah tak endah saja - bo layan. Mereka mempertahankan hak Soros mengaut keuntungan mega dari spekulasi matawang. Kata Amerika, Soros seorang warganya terhormat yang menderma keuntungannya kepada orang miskin di Hungary.

Mahathir "kunonnya" kecewa apabila Presiden Clinton tidak menghadiri sidang APEC di sini. Mahathir kata Clinton rugi sebab tidak dapat melihat sendiri keadaan di Malaysia. Kalau Clinton datang pun bukannya dia dapat bersiar-siar sesuka hatinya. Estrada yang ingin sangat berjumpa Anwar yang dikurung dalam sangkar VIP ditolak permintaannya. Kalau Clinton nak menjengok warga Kampung Baru di sebelah malam sudah pasti tidak dibenarkan. Rakyat yang hendak berjumpa tamu APEC di hotel Jalan Sultan Ismail pun kena siram "air cendol" yang gatal. Sebenarnya bukan Clinton tidak ada masa kerana dia boleh mengawasi krisis Iraq di mana-mana sahaja dengan kemampuan teknologi terkini. Sebenarnya Clinton cuma "returning the compliment" kepada Mahathir sebagai tindakbalas boycott Mahathir dulu. Clinton beri alasan secara baik tanpa menyinggung perasaan Mr Recalcitrant.

Mahathir kecewa sekali apabila Naib Presiden Amerika memberikan sokongan moral kepada gerakan reformasi di Malaysia. Mahathir terperanjat dengan ucapan Al Gore itu yang sebenarnya mencerminkan "pandangan rasmi pentadbiran Clinton". Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Presiden Clinton selang beberapa hari bahwa dia sendiri bersetuju memberikan ucapan yang sama sekiranya hadir ke sidang APEC. Mahathir sedar bahaya kesan ucapan Gore itu kepada Malaysia. Amerika telah mengecap Malaysia sebagai satu lagi negara yang membelakangkan prinsip-prinsip hak-hak asasi manusia sejagat. Maka tidak hairanlah pada hari selepas ucapan Gore itu, Mahathir kelihatan tidak bermaya langsung semasa sidang akhbar pada penghujung sidang APEC. Kemungkinan besar Mahathir risau "his days are numbered" kalau-kalau Amerika akan mengambil tindakan seperti yang dikenakan ke atas Iraq. Mahathir tahu ekonomi negara kita banyak bergantung kepada pelabur-pelabur Amerika.

Mahathir terpaksa terima kenyataan bahwa semua yang berlaku bukanlah ditimbulkan oleh orang luar. Dia jugalah yang menjolok sarang tebuan. "Kalu" kena sengat sang tebuan janganlah hendak melenting. Bak kata orang, "Berani buat, Berani tanggung". Tetapi Mahathir tidak boleh terima semua ini. Baginya hanya Mr. Recalcitrant saja yang boleh bidas orang lain.

Mahathir seorang sajalah yang boleh membangkitkan cacat cela orang lain tanpa mempedulikan "sampah sarap" dalam rumahnya sendiri. Orang lain kena hentam pasal pelanggaran hak asasi manusia tetapi tidak mengapa kalau Mahathir tahan penentangnya tanpa bicara, menangkap orang berdemonstrasi secara aman dan menjatuhkan hukuman ke atas Anwar tanpa menghiraukan lunas-lunas undang-undang dan prinsip-prinsip keadilan sejagat. Kalau begitu Mahathir jugalah yang mengamalkan "double standards".

Mahathir sedikit pun tidak peduli samada imej Malaysia akan tercemar berikut tindakan melampaunya. Lihat sajalah cara "ultra"nya menangani krisis ekonomi. Kata Mahathir kalau dunia luar menganggap kita negara "pariah" kerana melaksanakan kawalan modal dan matawang, biarkanlah. Pelik sungguh pendirian Mahathir ini. Orang-orang kasta rendah sedaya-upaya mahu keluar dari belenggu kasta yang tidak adil dan menindas tetapi Mahathir tidak kisah "kalu" masuk kasta terhina ini. Selalunya beginilah perangai orang muka tebal. Apa dunia luar kisah "kalu" Mahatir hendak pecat Timbalannya kerana berselisih pandangan mengenai strategi ekonomi. Mahathir sedikit pun tidak memikirkan kesan pemecatan ini ke atas imej negara di mata dunia antarabangsa.

Pemecatan Anwar dibuat semasa negara "standing in the eyes of the world". Mahathir menganggap perkara ini seperti "gigitan semut " sahaja dan yakin dapat menyelesaikan masalah ini dalam masa yang singkat tanpa menjejaskan Sukan Komanwel. Kali ini Mahathir silap melakukan pembedahan kerana pesakitnya bukan sebarangan orang. Kalau penentang yang lain akan segera pengsan bila diberikan ubat biasa tetapi anak Cherok Tok Kun ini dapat melawan kesan pembiusan Mahathir. Keris puaka Mahathir tidak mampu merobek jantung pahlawan terbilang ini. Hang Anwar bangun melawan kezaliman Maharaja Mahathir. Semasa atlit-atlit Komanwel berhempas-pulas bertanding dalam acara masing-masing, Pak Syeikh melakukan larian marathonnya bermula dari rumahnya di Jalan Setiamurni. Semakin hari semakin ramai rakyat yang mengikutnya berlari. Jiwa Mahathir semakin tidak tenteram melihatkan acara sampingan ini. Agaknya setiap malam dia mengigau bermimpi melihat dan mendengar lautan umat manusia lelaki bermisai dan berjanggut melaungkan "Re-for-ma-si" dan "Undur, Mahathir, Undur". Apabila Anwar mengumumkan di depan puluhan ribuan rakyat bahwa dia dijemput ke Kubang Pasu, Mahathir mengarahkan komando elit menghapuskan rancangan ini. Mahathir tidak peduli kalau seluruh dunia termasuk Ratu Elizabeth terpegun dengan tindakannya. Lagipun Sukan Komanwel ini adalah "showcase" Mahathir kepada dunia mengenai kegemilangan falsafah pragmatismenya sepertimana Hitler menggunakan Sukan Olimpik di Berlin sebagai propaganda Nazi terbesar.

Apa dunia luar boleh buat "kalu" Mahatir mahu menganiaya Anwar Ibrahim, bekas Pengarah BPR, bekas Mufti Selangor, Dr Munawar Anees, Sukma Darmawan, Roslan Kassim, bekas Gabenor Bank Negara, hakim-hakim dan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara. Mahathir sendiri mengakui bahwa dia tidak hirau bagaimana sejarah akan mengabadikan pencapaian pemerintahannya. Barangkali dia sedar akhirnya bahwa kad laporan kemajuannya sudah mencatatkan lebih banyak tanda merah dari yang biru. Mahathir tidak peduli apa "ratings" yang orang lain berikan padanya. Dia marahkan sangat dengan penilaian ekonomi Malaysia oleh ratings agency. Yang penting ialah "ratings" yang Mahahtir buat sendiri. Mahathir sanggup menjadi "pariah" asalkan dia boleh lakukan semuanya "My Way".

Siapakah sebenarnya yang mencemarkan imej negara kita? Jawapannya ialah seorang manusia yang rela mempariahkan negaranya sendiri bernama Mahathir bin Mohamad bin Iskandar Kutty.

Penutup

Sebenarnya terlalu banyak salahlaku Mahathir terhadap pelbagai golongan yang boleh dibentangkan. Andaikata dituliskan kesemuanya ini mungkin helaian kertas yang disusun akan menjangkau ketinggian tiang bendera di Dataran Merdeka. Semoga apa yang diajukan kepada pembaca sudah lebih dari cukup untuk meyakinkan tentang perlunya menamatkan bala dan azab yang telah dan sedang menimpa masyarakat Malaysia sepanjang 17 tahun bermaharajalelanya Mahathir. Sesungguhnya tiada sesiapa pun yang akan merubah nasib malang rakyat kalau bukan rakyat sendiri yang bangun membebaskan diri dari kezaliman ini.

Akhir kata renungkanlah kata-kata Anwar Ibrahim dari sebalik kawat berduri Sungai Buloh :-

"Percayalah, tidak ada kuasa yang mampu menahan kemaraan tuntutan rakyat. Sejarah menunjukkan diktator gagah dengan segala balatentera dan khazanah akhir ditumpaskan juga."

TAMAT