4. Menghapuskan Kuasa Institusi Raja Berpelembagaan
Mahathir sangat pakar dalam hal-hal psikologi rakyat Malaysia. Dia gemar pergi menjelajah seluruh negara setiap kali berlakunya krisis. Lihat sajalah kempen Semarak yang dikendalikan semasa krisis-krisis 1980an. "Semarak" kononnya bererti "Setia bersama rakyat" tetapi lebih tepat kalau digelar "Setia bersama Mahathir dan anak-anak". Tujuannya adalah untuk meraih simpati dan menyakinkan rakyat biasa bahwa pandangannya sajalah yang betul .
Cara Mahathir menangani isu-isu berhubung raja-raja Melayu ternyata berbeza dengan Perdana Menteri yang lain-lain sebelumnya. Almarhum Tunku dan Allahyarham Tun Razak mempunyai hubungan erat dengan pihak istana. Sebarang masalah pasti akan dibincangkan secara baik dengan raja yang terbabit tanpa mensasikan isu tersebut. Allahyarham Tun Hussein pun mampu mengekalkan hubungan harmonis ini dengan cara diplomatiknya. Bekas pemimpin-pemimpin ini ada sifat "gentleman".
Mahathir bukanlah seorang "gentleman". Mahathir lebih cenderung mengambil pendekatan konfrontasi dalam menghadapi kerenah pihak istana. Apa sebab agaknya Sultan Johor memberi nama jolokan "Mamak" kepada Mahathir? Jika gelaran "Mamak" ini dikaitkan dengan pelakon cerita yang amat popular suatu masa dulu yang pernah menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu, mendiang MG Ramachandran tidaklah mengapa kerana MGR selalu berlakon jadi hero.Mungkin Tuanku lihat kelakuan Mahathir seperti Ketua Samseng ala cerita Hindustan/Tamil agaknya.
Pada tahun 1983 Mahathir menjelajah seluruh Malaysia untuk memberikan penerangan akan perlunya dihapuskan imuniti (kekebalan) raja-raja Malaysia dari pendakwaan di mahkamah. Kononnya Raja-raja ini sudah melampaui batas dan perlu dibendung. Pada tahun 1992-93 timbul pula isu meminda perlembagaan untuk melaksanakan rang undang-undang tanpa memerlukan kelulusan DYMM Agong asalkan perkara tersebut telah dimaklumkan kepadanya. Maka Mahathir pun mengelilingi satu negara menjaja cadangannya. Rapat umum besar-besaran diadakan di segenap ceruk Malaysia. Dihimpunkan ahli-ahli parti komponen BN, kakitangan kerajaan dan rakyat jelata untuk mendengar amanat Maharaja Mahathir.
Untuk menyakinkan rakyat bahwa kekuasaan raja-raja Melayu perlu dibataskan maka propaganda kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mahathir mula mendedahkan salahlaku raja-raja. Cerita-cerita lama diberi nafas baru dan di"release"kan semula untuk tontonan ramai. Wayang-wayang "cheap matinee" ini tidak dikenakan apa-apa bayaran. Tidak perlu berbaris panjang untuk membeli tiket. Semuanya percuma ikhlas dari Mahathir kepada rakyat Malaysia. Rakyat dihidangkan kes-kes wang balak di Pahang, salahlaku anak raja memukul jurulatih, kereta Ferrari Diablo Sultan Kelantan, "istana-istana mewah" milik raja-raja dan sebagainya. Sampaikan banglo DYMM Sultan Perlis di Bukit Jambul, Pulau Pinang pun dinaikkan taraf kepada "istana". Tidak menjadi kesalahan kalau Mahathir mahu membina sebuah "istana" di Putrajaya. Bukannya Mahathir tidak tahu cara hidup raja-raja kita selama ini tetapi dia hanya timbulkan hal-hal itu sebagai ugutan kepada mereka. Apalah nilainya kaum kerabat diraja kalau sudah hilang daulat. Kalau hanya setakat tinggal "Raja" pada nama, si Rajasekaran, Rajagopal dan Rajamani pun boleh mengaku saudara. Kesimpulannya, kalau raja-raja berdegil menentangnya maka akan "pecahlah tembelang" mereka.
Seharusnya Mahathir diberi tabik hormat diraja kerana dia berjaya melakukan apa yang British gagal mencapai. Walaupun British berjaya memaksa Raja-raja Melayu menyetujui rancangan Malayan Union tetapi tidak berhasil melaksanakannya setelah ditentang hebat oleh orang-orang Melayu yang bersatu di bawah kepimpinan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar. Buat pertama kali dalam sejarah orang Melayu segala perbezaan semangat kenegerian, loghat, adat resam dan pegangan politik diketepikan demi menghadapi ancaman musuh besar. Mahathir atau nama penanya C.H.E. Det melihat sendiri betapa hebat kesannya siri rapat umum yang dianjurkan ketika itu. Mahathir tahu bahwa rakyat terutamanya orang Melayu akan bersatu di belakang pemimpin mereka kalau merasa terancam. Pengamatan ini mengajar Mahathir tentang keberkesanan "mob mentality". Dalam hal ini "modus operandi" Mahathir lebih halus dan licin berbanding Hitler yang menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamatnya.
Kini Mahathir tidak perlu lagi bimbang mana-mana rancangannya akan tersadai di Parlimen. Dia mampu melaksanakan apa sahaja undang-undang yang mendatangkan kebaikan padanya. Majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang milik Mahathir. Parlimen yang dikuasai BN hanya setakat menjadi "rubber stamp". Ahli-ahli Parlimen, jika ada pun yang mengambil kisah, tidak menunjukkan kesungguhan dan intelek yang tinggi semasa membahaskan sesuatu rang undang-undang. Sebaliknya apabila pembangkang berhujjah terdapat MP Barisan seperti Badruldin dari Yan yang sering mencelah, mengganggu dan berlagak seperti samseng mengeluarkan kata-kata bodoh dan kesat. Raja-raja pula sudah dijinakkan oleh seorang Mamak Bendahara yang tersangat kebal.
5. Memusnahkan Kebebasan Kehakiman
Sebelum krisis melanda kebebasan institusi kehakiman negara , pihak kehakiman negara dipandang tinggi di serata dunia. Malahan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas diiktiraf antara hakim terbaik di kalangan negara-negara Komanwel. Malangnya sanjungan dunia terhadap badan kehakiman kita terhakis begitu rupa angkara Mahathir yang pendendam.
Kemarahan Mahathir terhadap badan kehakiman negara tidak terhingga bermula dari episod UMNO diheret ke mahkamah oleh 11 orang ahli UMNO yang tidak berpuas hati. Kumpulan ahli UMNO tersebut telah merayu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai keputusan pilihanraya pucuk pimpinan parti yang diadakan pada tahun 1987. Semasa pertandingan ini Mahathir hampir tumpas kepada gandingan Tengku Razaleigh-Musa Hitam. Sewaktu itu UMNO telah berpecah kepada Team A (Mahathir) dan Team B (penentangnya).
Kumpulan 11 ini membawa kes ke muka pengadilan kerana mendakwa terdapat
segelintir perwakilan yang mengundi datang dari cawangan yang tidak berdaftar
secara sah. Mereka memohon agar pilihanraya tersebut diisytiharkan tidak
sah. Kalau pemilihan terpaksa dijalankan semula tanpa penglibatan perwakilan
"haram" tersebut, mungkin Team B boleh ditabalkan menerajui UMNO. Kalau
ini berlaku maka Team A terpaksa memahat batu nesan dan menyiapkan kain
kapan buat Mahathir. Namun begitu keputusan yang dibuat oleh Hakim Harun
Hashim memeranjatkan semua pihak. Hakim tersebut mendapati bahwa di bawah
peruntukan Akta Pertubuhan 1966 bukan sahaja pemilihan tersebut tidak sah,
malah parti UMNO sendiri adalah sebuah pertubuhan yang tidak sah! Pendek
kata ahli-ahli UMNO adalah anggota pertubuhan yang haram macam
kongsi gelap.
Maka bermulalah perebutan di antara kedua-dua puak UMNO untuk mendaftar semula parti kesayangan mereka. UMNO Baru anjuran Mahathir berjaya didaftarkan sebagai pengganti parti asal yang diisytiharkan haram tempoh hari. Puak Ku Li-Musa yang mendapat sokongan Almarhum Tunku gagal mendaftarkan UMNO Malaysia. Selepas menewaskan cabaran Team B, Mahathir mula merancang strategi untuk membendung kebebasan badan kehakiman kerana "perjuangannya masih belum selesai". Mahathir mahu memastikan institusi mulia ini duduk di bawah telunjuk Eksekutif i.e. kekuasaannya. Matlamatnya tercapai apabila pindaan yang membolehkan bidang Eksekutif menguasai badan kehakiman telah diluluskan oleh Parlimen. Taktik Mahathir berjaya kerana sebelum itu pada bulan Oktober 1987 pemimpin-pemimpin pembangkang dan para pengkritik sosial telah ditahan di bawah ISA melalui Ops Lalang. Mahathir menang "walkover" kerana lawannya tidak dapat hadir.
Serangan bertali arus Mahathir secara terang-terangan terhadap keutuhan
badan kehakiman menyebabkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas memanggil
suatu persidangan hakim-hakim. Dalam bulan Mac 1988 seramai 20 orang hakim
bermesyuarat di Mahkamah Agung. Mereka mencapai kata sepakat menghantar
perutusan kepada DYMM Agong menyuarakan bantahan terhadap kenyataan-kenyataan
berbisa Mahathir. Tidak sampai seminggu selepas perutusan itu dihantar
kepada Sultan Johor selaku DYMM Agong , Tun Salleh telah digantung dari
jawatan Ketua Hakim Negara oleh Tuanku atas nasihat Mahathir. Pada masa
yang sama Tan Sri Abdul Hamid telah dilantik untuk memangku jawatan berkenaan.
Sukar untuk dipercayai orang macam Mahathir boleh beri nasihat. Rasanya
lebih tepat kalau digunakan perkataan "arahan". Entah-entah Seri
Paduka terpaksa tunduk kepada kemahuan Mahathir kerana takut rahsia-rahsianya
akan didedahkan.
Alasan yang diberikan untuk penggantungan Tun Salleh ialah kononnya Seri Paduka murka terhadap perutusan para hakim. Penggantungan ini dilaksanakan juga walaupun Majlis Raja-raja telah mengesyorkan supaya Tun Salleh dikembalikan kepada jawatannya. Sebuah Tribunal Kehakiman telah ditubuhkan untuk menentukan nasib Tun Salleh. Keahlian dan kesahihan tribunal berkenaan menimbulkan kesangsian tentang niat sebenar penganiyaan Tun Salleh. Pertama, bilangan anggota tribunal sepatutnya angka ganjil supaya tidak berlaku sebarang keputusan tergantung (deadlock). Akan tetapi enam orang hakim telah dilantik menganggotai tribunal ini. Kedua, pemangku jawatan Ketua Hakim Negara yakni Tan Sri Abdul Hamid tidak wajar menduduki tribunal tersebut kerana mempunyai kepentingan secara langsung terhadap kes yang akan didengar. Ketiga, menurut norma-norma keadilan sejagat anggota tribunal hendaklah terdiri dari mereka yang sekurang-kurangnya sama taraf dengan orang yang hendak dihakimi. Daripada enam ahli tribunal ini hanya seorang ahli sahaja, seorang warga Sri Lanka, yang menepati tuntutan keadilan yang disebutkan. Bantahan yang dikemukan oleh peguam Tun Salleh tidak dihiraukan sama sekali.
Akhirnya Tun Salleh didapati bersalah di atas tuduhan menghina kredibility Kerajaan dengan membuat andaian bahwa pihak Eksekutif tidak menyakini kebebasan badan kehakiman. Tribunal anjuran Mahathir ala mahkamah kangaroo selesai membicarakan Tun Salleh hanya dalam masa kira-kira empat jam sahaja! Pastinya suatu rekod yang membanggakan Mahathir ketika itu sebelum dipecahkan oleh kes-kes Sukma dan Dr. Munawar. Maka lengkaplah penghinaan kepada kebebasan institusi kehakiman dengan pemecatan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim Negara. Selepas tersingkirnya Tun Salleh dari jawatan tertinggi ini maka tidak menghairankan sedikit pun apabila tindak-tanduk kepimpinan badan kehakiman negara mencerminkan mereka ini hanyalah sekadar menjadi orang suruhan Mahathir.
Kepercayaan rakyat terhadap kebebasan pimpinan tersebut semakin terhakis. Apatah lagi bila mana terdedahnya dakwaan bahwa berlaku rasuah di kalangan profesion kehakiman. Penulis "surat layang" yang memuatkan tuduhan berkenaan telah dikenalpasti sebagai seorang hakim. Anehnya tiada tindakan perundangan yang diambil terhadap individu berkenaan meskipun dakwaannya teramat serius. Penulis surat diizinkan berundur secara "terhormat" dan kes tersebut ditutup begitu saja. Maruah badan kehakiman semakin tercemar apabila pendedahan dibuat oleh saksi mengenai pembabitan orang ternama termasuk seorang anggota kehakiman di dalam kes perbicaraan pelacuran Ming Court-Haslinda Merican. Rakyat seterusnya bertambah gusar apabila mengetahui betapa akrabnya segelintir anggota kehakiman dengan golongan korporat pro-Mahathir berikutan pengedaran gambar-gambar percutian kedua-dua pihak. Sesungguhnya konspirasi menjatuhkan Anwar Ibrahim menyaksikan sekali lagi kesefahaman dan "teamwork" rapat di antara anasir-anasir tertentu di pihak badan kehakiman dan rejim Mahathir. Hakim-hakim yang dianggap bersimpati dengan penganiayaan Anwar (dan juga pembelakangan prinsip-prinsip keadilan sejagat) telah ditukar dengan segera. Semuanya dilakukan di atas titah Seri Paduka Baginda Mahathir!
Semestinya setiap usaha dilakukan untuk menaikkan semula martabat institusi kehakiman. Sebelum tercapainya matlamat ini maka selama itulah cahaya keadilan terus malap di Malaysia. Rakyat Malaysia masih ternanti-nanti kemunculan pahlawan gagah berani yang akan menentang pemerintah yang Mahazalim. Tiada jalan maupun pilihan lagi bagi Malaysia - Mahathir mestilah disingkirkan!
6. Berperang dengan Ulamak
Mahathir mempunyai tafsiran radikal terhadap ugama Islam dan peranan ulamak dalam masyarakat. Dia menolak perlaksanaan undang-undang Islam yang menyeluruh dengan alasan kononnya undang-undang tersebut tidak sesuai dengan masyarakat majmuk di negara ini. Bagi Mahathir kalau hukum Hudud dijalankan maka akan ramailah rakyat yang akan kudung tangan dan tiada lagi batu-batu untuk membuat jalan-jalan.
Oleh itu tidaklah pelik bila Mahathir menolak cadangan kerajaan Kelantan yang diterajui oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Mahathir mendakwa perlaksanaan hukum ini akan menyebabkan kezaliman yang ketara berlaku. Dalam sepucuk surat kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Nik Aziz yang diutuskan pada tahun 1994, Mahahtir memberi amaran bahwa Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika kerajaan Kelantan masih berdegil mahukan melaksanakan hukum Hudud.
Mahathir betul-betul murka dengan pihak berkuasa agama apabila tiga gadis Islam berketurunan Melayu telah ditahan oleh pegawai-pegawai JAIS di sebuah hotel pada bulan Jun 1997. Gadis-gadis tersebut adalah Fahyu Hanim, Noni dan Sharina. Mereka telah didakwa melakukan kesalahan di bawah undang-undang agama Islam negeri Selangor yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.
Sebenarnya pengharaman tersebut bukannya tidak mendapat liputan meluas
media tempatan. Penguatkuasaan undang-undang tersebut dilakukan setelah
2 tahun rang undang-undang itu diwartakan. Bukanlah Mufti yang meluluskan
undang-undang kontroversi itu dengan sewenang-wenangnya. Mufti telah mengemukan
cadangan melarang wanita Islam berpakaian tidak sopan dan mengambil bahagian
dalam pertandingan ratu cantik kepada Majlis Fatwa Negeri. Majlis Fatwa
tersebut telah menerima cadangan ini sebagai fatwa yang boleh digunapakai.
Rang undang-undang berkaitan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri
Selangor yang didominasi oleh UMNO. Seterusnya rang undang-undang ini telah
diwartakan pada bulan Mei 1995. Ini
bererti DUN Selangor sendiri telah menghalalkan penggunaan fatwa terbabit.
Semasa penangkapan tiga gadis ini dibuat Mahathir sedang bercuti di
luar negara. Apabila ditanya pendapatnya mengenai hal tersebut, Mahathir
melahirkan rasa kesalnya dan menuduh pihak JAIS tidak memahami tuntutan
agama. Mahathir seterusnya membidas pihak berkuasa agama dengan dakwaan
kononnya mereka telah menyalahgunakan kuasa. Tindakan menggari ketiga-tiga
pesalah tersebut dianggap melampau dan menjejaskan imej Malaysia. Mahathir
sebenarnya mahukan mereka itu diberi penerangan terperinci mengenai kesalahan
yang bakal dilakukan jika meneruskan penglibatan dalam pertandingan tersebut.
Mahathir berdalih mungkin gadis-gadis itu tidak mengetahui bahwa undang-undang
itu telah diwartakan. Alangkah
bertuahnya semua rakyat jika boleh memberi alasan kepada pihak polis,
JPJ dan penguatkuasa tempatan bahwa kita tidak mengetahui atau memahami
sesuatu peruntukan undang-undang yang diwartakan. Malangnya samada kita
membaca atau tidak sesuatu warta , kesalahan tetap kesalahan kerana sudah
menjadi undang-undang sah.
Kemarahan Mahathir tidak tamat dengan kes tiga gadis itu. Dalam satu ceramah di Kedah Mufti Selangor, Dato’ Haji Ishak Baharom ada mengingatkan pemimpin-peminpin supaya berhati-hati dalam menyentuh isu-isu berhubung ugama Islam kerana dikhuatiri mungkin mengeluarkan pendapat yang boleh membatalkan Syahadah. Mahathir melenting yang amat sangat kerana mendakwa ada Mufti telah mengatakan dia hampir murtad. Kontrak Dato’ Haji Ishak tidak diperbaharui.
Pada bulan Ogos 1997 selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, Mahathir mengumumkan perlunya mengkaji kuasa dan peranan Mufti. Kononnya ini demi mengelakkan Mufti membuat fatwa sesuka hati. Mahathir mahukan Mufti berbincang dengan semua pihak termasuk golongan yang bukan berpelajaran agama sebelum boleh mengeluarkan fatwa. Dalam ertikata lain Mahathir mahukan Mufti merujuk kepadanya dalam semua hal-hal berkaitan Islam. Hal ini jika dilaksanakan samalah seperti seorang Arab meminta kawannya yang tidak mahir dalam bahasa Arab memberi pandangan mengenai suatu rencana yang ditulis dalam bahasa Arab.
Tafsiran Mahathir mengenai sesetengah hal berhubungkait dengan undang-undang
Islam sangatlah diragui. Ambil contoh apabila para ulamak dan cerdik pandai
Islam menyatakan pandangan bahwa pihak yang menuduh orang Islam lain melakukan
liwat mesti mengemukakan 4 orang saksi lelaki yang adil. Mahathir beritahu
Parlimen bahwa dalam masyarakat sekarang tersangat sukar untuk mendapatkan
saksi-saksi yang memenuhi tuntutan Syarak ini. Kalaulah betul masyarakat
sudah pincang pegangan agamanya Mahathirlah yang bertanggungjawab terhadap
gejala ini. Mahathir berhujjah seterusnya walaupun tidak dapat dibuktikan
kesalahan itu tetapi Allah Maha Mengetahui segala yang dilakukan hamba-hambanya.
Oleh itu menjadi kewajipan masyarakat untuk menghukum orang yang bersalah
ini. Sungguh hebat "fatwa" yang dikeluarkan oleh Imam Mahathir. Tidak perlu
dirujukkan kepada Majlis Fatwa mahupun diwartakan. Mujurlah bagi seorang
anak Thamby Chik bernama Rahim "fatwa" Mahathir ini dikeluarkan setelah
kesnya ditutup oleh Peguam Negara, kawannya dari Melaka. Mungkin Mahathir
merasa berkewajipan menolong anak thambi ini kerana mengenangkan mereka
dari rumpun yang sama. Sebab "fatwa" inilah Sukma dan Dr Munawar dihukum
dengan seksyen liwat yang bercirikan semangat "Malaysia Boleh". Macam mana
pula dengan Azizan
Abu Bakar yang mengaku kepada seluruh dunia telah diliwat 15 kali?
Mungkin Azizan ada mencatitkan waktu dan tempat berlakunya setiap pengliwatan
di dalam diarinya kerana khabarnya dia memang tekun menulis setiap gerak-geri
bekas majikannya.
Bagi Mahathir ugama Islam sememangnya boleh ditafsir menurut logik akal saja. Pandangan ulamak dianggap tidak progresif. Mahathir mahu pendekatan orang Melayu terhadap Islam dikaji semula supaya dapat disesuaikan dengan peredaran zaman. Tidak menghairankanlah betapa kurang berminatnya Mahathir menangani kes-kes murtad. Seandainya Mahathir ikhlas dia akan menjelajah seluruh negara menjelaskan betapa perlunya dicegah orang Islam murtad. Rakyat Melayu yang mengaku Islam akan menyokong penuh usahanya. Majoriti dalam Parlimen yang dimiliknya boleh digunakan untuk meluluskan pindaan yang wajar bagi menghalang gejala ini. Mahathir boleh humban sesiapa yang menentang usaha ini masuk ke istana Kamunting. Semuanya boleh berlaku kalau Mahathir benar-benar mahukan ia menjadi kenyataan.
Sebagai pemerintah Mahathir akan disoal di Padang Masyhar nanti mengapa dia tidak menghalang Aishah Bokhari, Hartina Kamaruddin dan ramai lagi orang Islam dari membelakangkan Islam dan terus menyembah Allah Yang Maha Esa.
bersambung......