Make your own free website on Tripod.com
SALAHLAKU MAHATHIR   (Bhg. 1) sumbangan : Steffan Khinge & Associates

Mukaddimah

Karier politik Mahathir bin Mohamad penuh dengan insiden-insiden kontroversi. Puncanya ialah sikap dan pegangan hidup Mahathir sendiri. Walaupun satu demi satu kontrovesi yang dicetuskannya rakyat Malaysia secara umum masih dapat mengenepikan penindasan dan ketidakadilan angkara Mahathir terutamanya sepanjang 17 tahun pemerintahannya.

Namun begitu kezaliman ke atas sesama manusia tidak akan lenyap begitu saja tanpa mendapat penghukuman di dunia ini. Sejarah penuh dengan contoh-contoh bagaimana diktator-diktator menghabiskan sisa-sisa kehidupan dalam keadaan hina.

Tragedi pemecatan Sdr Anwar Ibrahim dengan cara paling mengaibkan dan tindakan yang zalim terhadap beliau telah memberi kejutan kepada hampir semua rakyat Malaysia. Mungkin rakyat Malaysia masih boleh memaafkan Mahathir sebelum malaikat maut mencabut nyawanya supaya dia dapat menemui ajalnya sebagai seorang Muslim. Akan tetapi rakyat tidak mungkin dapat melupakan kekejaman rejim Mahathir. Bak kata orang-orang Yahudi yang terselamat dari Holocaust, pembersihan etnik oleh Hitler, "To forgive, yes but to forget, never!"

Sebahagian dari sejarah permusuhan Mahathir dipaparkan di sini buat iktibar semua dan semoga dapat menyedarkan golongan yang masih tidak membuka mata, telinga dan minda kepada realiti.

1. Permusuhan dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman

Dendam kesumat Mahathir terhadap Almarhum Tunku memuncak apabila dia mengalami kekalahan kepada calon PAS, Haji Yusof Rawa pada tahun 1969 semasa bertanding di Kota Setar.  Kemarahan Mahathir menjelma dengan rupa sepucuk surat terbuka kepada Almarhum Tunku bertarikh 17hb Jun 1969. Mahathir membidas Tunku dengan hebat kerana dia yakin sesungguhnya Tunkulah yang menyebabkan karier politiknya berkecai. Surat biadap ini kemudiannya disusuli dengan buku, "The
Malay Dilema" yang ditulis dalam bahasa kebanggaan Mahathir, bahasa Inggeris. Di dalam bab 2 buku ini bertajuk "Di Mana Silapnya?" Mahathir menghentam Almarhum Tunku habis-habisan.

Almarhum Tunku pernah melabel Mahathir sebagai seorang "ultra" (pelampau). Mahathir sememangnya melampau kerana tidak memperdulikan adab dan kesopanan budaya orang Melayu. Cara Mahathir membidas Tunku dapat digolongkan sebagai biadab. Mungkin saki-baki pengaruh Keling Tongkang masih menebal di dalam jiwa Mahathir ketika itu. Mahathir seorang lelaki yang terlalu marah ketika itu. Dia menghina Tunku dengan mengatakan Tunku sudah nyanyuk pada usia 60an. Kini gilirannya untuk dipanggil "nyanyuk" pada usia 73 tahun. Mahathir menganggap "The Happiest Prime Minister in the World" sudah "out of touch with reality". Sekarang "The Most Arrogant Prime Minister in the World" ini hidup dalam alam fantasi yang penuh dengan kebatilan.

Mahathir dengan keras memberitahu Tunku bahwa "tak-kanlah yang ramai itu sentiasa salah" tetapi dia tidak mahu menerima kenyataan bahwa "yang ramai" itu sudah hilang kepercayaan dan hormat kepadanya. Sudah adapun sepanduk yang berbunyi "Mahathir Butuh" diangkat oleh penduduk Kampung Baru.

Mahathir mendesak supaya Tunku segera meletakkan jawatan kerana orang Melayu sudah tidak menyokongnya. Almarhum Tunku menyahut desakan rakyat dan berundur dengan cara terhormat. Akan tetapi Mahathir sungguh "recalcitrant" (keras kepala) walaupun hampir setiap minggu rakyat melaungkan slogan "Undur, Mahathir, Undur". Bekas Perdana Menteri Australia, Paul Keating tidak mengeluarkan perkataan kurang sopan tersebut tanpa alasan.

Semasa UMNO diharamkan Almarhum Tunku telah menyokong Team B dalam cubaan menubuhkan parti baru, UMNO Malaysia. Tunku tidak rela bersekongkol dengan Mahathir yang terkenal dengan sikap "ultra"nya. Begitu juga sikap Tunku semasa berlakunya pemecatan Ketua Hakim Negara yang dihormati, Tun Salleh Abbas. Tunku bermurah hati menulis kata-kata aluan buku "May Day for Justice" yang membicarakan isu pemecatan tersebut.
 
2. Menikam PAS

Selepas dipecat dari UMNO oleh Almarhum Tunku berikutan penerbitan buku "The Malay Dilemma", Mahathir dengan tanpa segan silu menumpang platfom PAS untuk terus membidas kerajaan pimpinan Tunku. Mahathir sebenarnya bukan mahu menerima ideologi perjuangan PAS. Sewaktu itu pegangannya cenderong kepada fahaman sosialis. Itu semua bukanlah perkara rumit bagi seorang yang pragmatik seperti Mahathir. Pragmatisme Mahathir serupa seperti sifat binatang "chameleon", sejenis cicak yang berupaya mengubah warna kulitnya sesuai dengan persekitarannya.

Apabila Mahathir diterima semula ke dalam UMNO oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, segala jasa PAS semasa zaman "buang negeri"nya dilupakan begitu sahaja. Memang Mahathir tidak tahu mengenang budi. Mahathir berlagak bagaikan Ketua Samseng dalam cerita Hindustan dan menikam PAS bertubi-tubi dari semua arah dengan pelbagai keris puaka. Sikap anti-PAS Mahathir boleh dikatakan mirip kepada fikrah Abdullah Ibnu Ubay, ketua puak munafik yang mempengaruhi orang-orang Islam untuk murtad selepas kewafatan Rasullah s.a.w.!

Mahathir amat gemar dan tidak pernah kehabisan tenaga menuduh PAS "bertopengkan" Islam untuk mencapai cita-cita politiknya. PAS sentiasa dituduh mengeksploitasi ugama untuk kepentingan sendiri. Tetapi Mahathir lupa bahwa dia sendiri banyak memakai "topeng" sepanjang karier politiknya. Seperti cicak chameleon, Mahathir memakai topeng sosialism, Islamisasi dan nasionalis mengikut kesesuaian zaman. Mungkin sekarang topeng yang dipakainya ialah topeng yang ditempah khas bagi dirinya yakni topeng "Diktator".

Mr. Pragmatik hampir saja berjaya melumpuhkan PAS apabila melakukan "scoop" yang menakjubkan pada tahun 1982. Yang menjadi rebutan kedua-dua pihak ialah sebutir permata yang tidak bergilap bernama Anwar bin Ibrahim. Insan bernama Anwar mesti dibendong dan dikawal kerana dikhuatiri jika dia menyertai PAS nafas politik Mahathir akan tersekat dan mungkin membawa kepada "sudden death". Gelombang kesedaran semula Islam yang bertiup di serata dunia semakin mendapat tempat di hati umat Islam Malaysia. Anwar dan ABIM memainkan peranan yang tidak ternilai harganya dalam proses ini. Mahathir semakin cemas apabila Revolusi Islam berjaya menjatuhkan rejim Shah Iran.

Sekali lagi Mahathir menyalin kulitnya dengan menonjolkan warna Islam. Ini dilakukan untuk mematahkan pengaruh PAS selepas tamatnya era Allahyarham Datuk Asri Muda. PAS baru saja menjalani "reformasi" menyeluruh dan telah menampilkan imej Islam yang modernist. Tokoh-tokoh PAS seperti Dato’ Fadzil Noor, Ustaz Nik Aziz, Tuan Guru Abd Hadi Awang dan rakan-rakan seangkatan yang lain mampu mencabar ketuanan nasionalis UMNO ke atas orang-orang Melayu yang sedang bangun dari tidur yang lena. Generasi Melayu ini sudah membuang budaya "hippie", kekaguman dengan fahaman sosialis dan cara hidup ala Barat yang sesat. Maka dilaksanakanlah program "Islamisasi" yang intensif untuk menghilangkan kedahagaan umat ini.

Kebencian Mahathir terhadap PAS membawa kepada tragedi berdarah. Tangan Mahathir "berlumuran dengan darah" penyokong-penyokong PAS di sebuah kampung bernama Memali pada tahun 1985. Walaupun Mahathir cuba menyalahkan Timbalannya ketika itu, Tan Sri Musa Hitam tetapi sebenarnya arahan untuk menyerang Allahyarham Ibrahim Mahmood @ Ibrahim Libya dan penyokong-penyokongya datang dari Mahathir yang sedang melawat negara komunis China. Mengapakah tidak dipanggil pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dan tokoh-tokoh yang mempunyai pengaruh ke atas Ibrahim Libya untuk memujuknya menyerah diri? Apakah mereka yang terkorban itu telah melakukan keganasan terhadap negara ini sehingga
wajar ditentangi dengan kekerasan?

Semasa kes tuduhan rasuah Dato’ Harun Idris pada tahun 1970an, sekumpulan anggota Pergerakan Pemuda UMNO telah mengepung kediaman bekas Menteri Besar Selangor itu dan menghalang pihak polis dari menangkap Dato’ Harun. Kumpulan Pemuda UMNO ini sanggup menggadai nyawa mereka semata-mata mahu mempertahankan pemimpin agung mereka. Kerjaan pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak telah menghantar satu delegasi untuk berunding dengan Dato’ Harun. Hasil dari tindakan Tun Razak yang penuh hikmah itu maka Dato’ Harun bersetuju menyerah diri. Peristiwa itu berakhir dengan aman tanpa sebarang pertumpahan darah.

Mahathir mesti menanggung dosa terhadap pembunuhan di Memali dan menjawab kepada balu dan anak-anak mereka yang terkorban. Sikap "recalcitrant" Mahathirlah yang menyebabkan banyak nyawa yang terkorban. Umat Islam terutama ahli-ahli PAS tidak akan melupakan jenayah Mahathir ini.
 
3. Menzalimi pengkritik

Mahathir cukup meminati lagu "My Way" yang dipopularkan oleh mendiang Frank Sinatra. Lagu ini sering dinyanyikan Mahathir dalam majlis-majlis amal. Mahathir gemar lagu ini kerana senikatanya mencerminkan prinsip hidup Mahathir sendiri. Segala-galanya mestilah dilakukan mengikut pandangan dan cara Mahathir sahaja. Sesiapa yang menentang atau enggan mengabdikan diri kepada kemahuan Mahathir dianggap sebagai pengkhianat.

Cubalah tanya Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh, tokoh-tokoh pembangkang, Tun Salleh Abbas dan Anwar Ibrahim. Mereka ini merasakan secara terus bahang api kemarahan Mahathir. Musa Hitam meletakkan jawatan kerana tidak tahan lagi dengan karenah Mahathir terutamanya selepas insiden berdarah di Memali. Tokoh-tokoh pembangkang dibawa bercuti ke resort tahanan tanpa rela atas arahan Mahathir. Tun Salleh Abbas dihumban ke bawah dari menara kehakiman kerana enggan bersekongkol dengan Mahathir. Ku Li dan kerabat Team B angkat kaki meninggalkan kampung UMNO dan mendirikan desa Semangat 46. Dan yang terbaru sekali Anwar Ibrahim dipenjarakan di dalam istana berduri kerana antara lain melakukan dosa kepada Mirzan Mahathir.

Kontroversi tercetus apabila Kementerian Pendidikan mencadangkan untuk menaikkan pangkat guru-guru dari aliran bukan pendidikan China menjadi pengetua sekolah jenis kebangsaan China. Menteri Pendidikan semasa itu ialah Sdr Anwar Ibrahim. Tindakan ini ditentang oleh badan-badan pendidikan China. Part-parti MCA dan DAP terheret ke dalam kontroversi ini. Datuk Lee Kim Sai dari MCA telah menaikkan kemarahan orang-orang Melayu dengan mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbau perkauman. Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Najib Tun Razak telah bertindakbalas dengan mengadakan perhimpunan raksaksa di Padang Kelab Selangor. Keadaan di sekitar Kuala Lumpur menjadi tegang seolah-olah 13 Mei akan
berulang.

Mahathir mengambil kesempatan dari situasi genting ini dengan mengarahkan penangkapan 106 orang di bawah Ops Lalang pada Oktober 1987. Antara tokoh-tokoh utama yang ditahan ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Mat Sabu, Mahfuz Omar dan Chandra Muzaffar. Isu yang pada mulanya membabitkan perbalahan perkauman di antara UMNO dan MCA akhirnya dieksploitasi oleh Mahathir untuk mengurung pembangkang. Bak kata orang, "Rezeki jangan ditolak". Mahathir merasa bertuah kerana dengan peluang ini dapatlah dia mengusulkan pindaan perlembagaan menghadkan kuasa Raja-raja dan menghancurkan kebebasan institusi kehakiman.

Mahathir memang seorang "fighter" yang kental. Semangat berjuangnya jauh lebih hebat daripada Mike Tyson. Satu demi satu lawan Mahathir tumbangkan dengan pukulan KO. Team B yang diketuai Tengku Razaleigh cuba merampas takhta Mahathir melalui pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1987. Dalam sesuatu demokrasi yang matang perebutan kuasa secara pilihanraya adalah suatu perkara biasa. Pihak yang menang akan memerintah parti manakala yang kalah menerima hakikat kekalahan dengan terbuka. Kalau ada nasib lain tahun cuba lagi. Tetapi bagi Mahathir sebarang cubaan untuk menjatuhkannya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Penentang mesti dihukum sekeras-kerasnya walaupun tindakbalas itu boleh membawa kepada perpecahan parti. Bila UMNO diharamkan dan Team B tersingkir maka saki-baki ahli yang kekal di dalam UMNO Baru tiada pilihan melainkan mendaulatkan secara total kepimpinan Mahathir.

Walaupun gagal mendaftarkan UMNO Malaysia, Team B tidak berputus asa. Maka ditubuhkan Parti Melayu Semangat 46. Parti bekas ahli UMNO ini mengadakan pakatan dengan parti-parti pembangkang yang lain. S46 menjadi ahli komponen Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah. Gabungan pembangkang yakin dapat mengurangkan majoriti BN dalam pilihanraya 1990. Tanpa diduga Mahathir telah menggunakan taktik kotor di saat-saat akhir pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka. Tersebarlah dengan meluas gambar Tengku Razaleigh memakai setanjak Kadazan yang didakwa terpahat lambang salib Kristian di atasnya. Sebenarnya lambang salib berlainan sedikit dari lambang di setanjak itu. Tanyalah rakan-rakan beragama Kristian tentang hal ini. Malang bagi S46 kesannya sungguh dahsyat. Sokongan terhadap S46 punah sama sekali seperti ledakan bom atom di Hiroshima. Penyokong dan sukarelawan S46 berpaling tadah dan mengundi BN. S46 mengalami kekalahan yang mengaibkan kecuali di Kelantan. Mahathir gembira tidak terhingga kerana rancangannya telah berjaya memperdayakan majoriti orang Melayu. Rais Yatim terpaksa membina semula jambatannya yang telah beliau bakar dahulu. Semua orang masih ingat lagi kenyataan terkenal Rais, "I’ve burnt my bridges". Akhirnya puak S46 terpaksa merangkak balik ke pangkuan UMNO Mahathir.

Selepas memecat Anwar Ibrahim pada 2 September 1998, Mahathir berharap bahwa tuduhan moral akan dapat menghancurkan ancaman Anwar kepadanya. Mahathir kecewa kerana rakyat terutama ahli-ahli UMNO masih enggan menyokong tindakannya meskipun Sukma dan Dr. Munawar "mengaku" diliwat oleh Anwar. Sekarang Mahathir mengambil pendekatan berbeza dengan memainkan sentimen Patriotisme dan campurtangan asing di dalam hal-ehwal dalaman negara. Ucapan Naib Presiden Amerika Syarikat bagaikan rahmat yang datang bergolek kepada Mahathir. Sekarang perhatian rakyat dapat dipalingkan dari isu penganiayaan Anwar kepada kedaulatan negara. Perjuangan golongan reformasi telahpun dilabel sebagai pengkhianat dan menjadi talibarut Amerika. Kempen mengibarkan Jalur Gemilang, iklan dan rancangan bertemakan Patriotisme di media massa dan kenyataan-kenyataan kuncu-kuncu Mahathir menghidupkan semula bayang-bayang hantu 13 Mei. Maka keluarlah kenyataan "gempak" Pak Lah Badawi kepada dunia bahwa Malaysia akan menyalahkan Amerika Syarikat kalau tercetusnya rusuhan di negara ini. Semuanya adalah perencanaan terperinci Mahathir untuk terus mengekalkan kuasa. Dikhuatiri akan berlaku gerakan menangkap penentang-penentang Mahathir beramai-ramai sebelum pilihanraya diadakan selepas Hariraya ‘Aidil Fitri 1999.

Mahathir mungkin berjaya dengan taktik seperti yang digunakan semasa pilihanraya 1986 dan 1990, tetapi percayalah bahwa kebenaran dan keadilan akan terserlah akhirnya meskipun bertahun-tahun lamanya berjuang. Nelson Mandela merengkok lebih suku abad di dalam penjara apartheid tetapi dia tetap yakin akan mencapai "freedom in our lifetime" (kebebasan semasa hayat kita).     bersambung.....