Make your own free website on Tripod.com
UMNO & KONTRAK SOSIAL BARU : KOMEN KEPADA ULASAN A.KADIR JASIN

Tema utama AKJ menekankan kepada perlunya rakyat tetap memberikan sokongan terhadap UMNO berdasarkan "rekod cemerlangnya" melaksanakan DEB. Secara tidak langsung , beliau mengakui terdapat beberapa "kelemahan" didalam struktur UMNO yang telah dibelenggu oleh pelbagai unsur "kurang sihat" seperti politik wang . Walaupun secara sinis beliau telah
mengunjurkan sebab - musababnya kepada pengaruh DSAI didalam UMNO (kewujudan "demagog" & "wira politik" yang belum tentu.. ) Beliau turut menekankan peripentingnya UMNO melaksanakan beberapa perubahan demi memastikan kesinambungan mandat UMNO .

Didalam ulasan ini juga , dengan menggunakan isu penubuhan suruhanjaya bebas menyiasat kes DSAI ( sekali lagi DSAI dilibatkan ) , beliau membayangkan bahawa UMNO amat sedar akan tuntutan perubahan tersebut . Lantaran itu , sewajarnyalah rakyat memberi peluang bagi UMNO yang "sedang berubah" ini , untuk kekal berkuasa.

Beliau tampak begitu yakin bahawa UMNO mampu mengusulkan suatu "kontrak sosial" baru bagi memenuhi tuntutan rakyat , khususnya , bagi menyahut golongan pasca - DEB yang kian mahukan agar suara mereka didengar .

Malangnya , AKJ alpa kepada initipati maksud ‘KONTRAK SOSIAL’ itu sendiri . Kontrak lazimnya melibatkan suatu perjanjian sahih pelbagai syarat , diantara dua pihak , yang wajib dipatuhi oleh kedua - duanya . Didalam konteks ‘KONTRAK SOSIAL’ itu sendiri , ‘kontrak’ yang ditandatangani adalah didalam bentuk MANDAT PILIHANRAYA diantara penganjurnya ( penerima ) , iaitu badan pemerintah ( atau yang menginginkan tampuk pemerintahan ) dengan pemberinya , iaitu rakyat .

Initipati syarat - syarat kontrak sosial ini pula ialah AGENDA yang dicanangkan oleh pemerintah kepada rakyatnya . Pemerintah secara tidak langsung bersetuju dipertanggungjawab serta diamanahkan oleh rakyat (sebagai ‘rakan kontrak sosial’ ini ) untuk memenuhi segala ‘syarat - syarat’ ( janji ) kontrak sebaik mungkin . Seperti mana - mana kontrak jua pun , pihak yang merasakan dirinya terniaya berhak menamatkan kontrak tersebut setelah tamat tempohnya tanpa perlu menyambungnya lagi.

Namun ‘kontrak sosial’ melibatkan kepentingan  serta implikasi yang lebih mendalam berbanding dengan kontrak biasa . Ini kerana didalam kontrak biasa , kesannya ( samada positif atau negatif ) kebiasaanya dirasai hanya semasa tempoh kontrak tersebut . Walhal , didalam‘kontrak  sosial’ diantara rakyat ( pemberi mandat ) dengan pemerintah ( penerima mandat ) , natijah yang terhasil daripada pelbagai agenda ( positif atau negatif )  yang dilaksanakan didalam tempoh ‘kontrak’ , bukan sahaja
mendatangkan kesan pada tempoh tersebut ,malah setelah tamat kontrak dan mungkin untuk beberapa generasi kemudiannya .

Ini terbukti didalam pergolakan di Filipina dan baru - baru ini , di Indonesia ( yang langsung tidak diendahkan oleh AKJ untuk dijadikan sebagai contoh ) , dimana ‘kontrak sosial’ yang ‘dimeterai’ diantara pemerintah diktator dengan rakyat masing - masing telah ‘dinodai’ oleh pemimpinnya . Hasilnya , bukan sahaja negara menjadi papa kedana dengan sistem perekonomian yang porak peranda , malah keseluruhan sistem politik , kemasyarakatan , perundangan , moral peradaban menjadi kucar kacir, terpesong serta sesat hala tujunya .

Kesan negatif ini bukan sahaja terasa di waktu tempoh pemerintahan diktator tersebut ( tempoh ‘kontrak’ ) , malah berterusan untuk tempoh waktu SELEPAS nya . Ini dapat dilihat didalam kes rejim Marcos ( Filipina ) dimana hanya setelah dua presiden selepasnya (  Aquino & Ramos ) serta beberapa percubaan rampasan kuasa berdarah diantaranya , barulah terdapat unsur kestabilan . Namun didalam penggal presiden kinipun ( ketiga selepas Marcos ) , iaitu Estrada , negara tersebut tidak sunyi daripada dihantui serta dibelenggu dengan pelbagai ‘kesan peninggalan’ rejim Marcos seperti rasuah , kemiskinan , jenayah serta pelbagai masalah sosial , ekonomi dan politik .

Didalam kes Indonesia pula , pewaris rejim Suharto pula iaitu B.J Habibie , yang jelas gagal mendapat mandat penuh rakyatnya, masih tercari - cari asas formula bagi menyelesai serta menstabilkan pelbagai masalah sosio politik kronik negara . Lantaran berleluasanya unsur rasuah , nepotisme serta kronisme , kesan dari ‘pengkhianatan kontrak sosial’ oleh Suharto .Sementara itu , rakyatlah yang menjadi mangsa dengan kekal dibelenggu dengan pelbagai azab kesengsaraan .

Justeru itu , kontrak sosial bukan suatu urusan yang lazim , seperti kontrak biasa . Malah jauh lebih bernilai daripada itu . Ianya ibarat suatu ‘perjanjian keramat’ diantara pemerintah dan rakyat yang mesti dipatuhi . Lantaran kesannya yang begitu mendalam,  ianya mesti diperhalusi oleh pemberinya , iaitu rakyat , dengan penuh hemah , bijaksana dan rasa penuh tanggungjawab . Kerana kealpaan rakyat sendirilah yang akan membinasakan kepentingan dan masa depan bukan setakat diri mereka sendiri malah generasi SELEPAS mereka .

Merujuk kepada UMNO yang mungkin menjanjikan ‘kontrak sosial’ BARU yang mirip kepada tuntutan rakayat pasca - DEB , seperti di bayangkan oleh AKJ , kita sebagai rakyat yang rasional serta prihatin mesti AMAT BERWASPADA terhadap ‘janji manis’ ini . Sebagai pemberi mandat serta bakal rakan kontrak ‘perjanjian keramat’ ini , kita mesti bijak menilai KEWIBAWAAN SERTA KEIHKLASAN bakal penerima mandat kontrak tersebut , iaitu UMNO .

Didalam penilaian kita terhadap KEWIBAWAAN SERTA KEIHKLASAN UMNO , kita seharusnya bukan setakat menilai ‘rekod silamnya’ malah ‘rekod KINInya’jua . Juga , berdasarkan susunan KEPIMIPINANnya kini , kita mampu mencongak dengan tepat ‘rekod masa depannya’ . Penilaian kita harus seimbang , berhemah lagi bermatlamat , tanpa dipengaruhi oleh sentimen lama terhadap pemimpin tertentu , yang hanya akan mengaburi kejituan penilaian .

Jika kita dapati dari penilaian kita bahwa KEWIBAWAAN SERTA KEIHKLASAN UMNO amat LEMAH LAGI DIPERSOALKAN , maka jalan selamat bagi kita bukan setakat tidak perlu lagi membuang masa melihat ‘kandungan’ omonganserta ‘janji manis’ ‘kontrak baru’ dari UMNO ini , malah , kita harus berani & tekad untuk MENYINGKIRKAN UMNO . Seterusnya , kita mesti ‘memeterai’ kontrak BARU dengan wadah lain yang lebih berwibawa .

Disamping itu , kita mesti memastikan bahawa KEPIMPINAN kini ,khususnya Dr Mahathir dan juak - juaknya , yang telah ‘menodai’ kontrak asal kita , diseret ke muka pengadilan untuk dipertanggung jawabkan sepenuhnya diatas pengkhianatan serta pencabulan amanah rakyat oleh mereka . Ini termasuk memastikan bahawa segala harta perbendaharaan serta laba haram
yang dibolot semasa ‘kontrak’ mereka dengan kita dikembalikan sepenuhnya.

Berdasarkan rekod silamnya UMNO telah banyak berjasa . Namun , sejak kebelakangan ini ( rekod KINI ) UMNO yang diterajui oleh Dr Mahathir , secara sedar atau sebaliknya , telah menjadi pelopor serta penganjur kepada pelbagai unsur penindasan dan pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat , khususnya terhadap orang Melayu . Lantaran pelbagai agenda durjana KINIlah , UMNO secara tidak langsung , dengan sendirinya telah ‘menggerhanakan’ segala cahaya kegemilangan ‘rekod silamnya’ .

UMNO sebagai peneraju pemerintahan negara secara mutlak , tanpa kesedaran mahupun ketelusan , telah menjadi penganjur kepada menularnya unsur rasuah , kronisme serta pelabagai unsur jijik yang melemahkan asas ekonomi kita . Lantas menjadikan ekonomi kita ‘habuan mudah’ spekulator untuk meranapkannya . Kerana enggan langsung mengakui kelemahan sendiri
(meletakkan kesalahan 100 % kepada orang luar ) , mereka telah mengabaikan perubahan dasar kewangan yang diperlukan bagi menjana pemulihan hakiki .

Tidak cukup begitu sahaja , malah segala sumber dalaman dana negara termasuk DANA PERSARAAN / AMANAH rakyat seperti KWSP ( rugi RM 10 bil ) , LUTH , LAT dll telah dipergunakan untuk menyokong bursa tempatan (bagi mengabui rakyat ‘kununnya’ ekonomi menunjukkan petanda pemulihan ) disamping menyelamatkan syarikat kroni masing - masing ( ‘kununnya’atas dasar syarikat ‘strategik’ negara ) . Lantaran itu , bukan sahaja taraf ekonomi rakyat kini terjejas malah masa depan mereka juga was - was , lantaran penggunaan tanpa batasan segala dana persaraan mereka oleh rejim kini .

Tidak cukup dengan kepayahan yang ditanggung kini oleh rakyat , rejim ini juga sewenang - wenangnya ‘mencekik darah’ rakyat dengan mengenakan tol baru serta meningkatkan kadar tol yang sedia ada , kepada paras di luar kemampuan rakyat . Menteri kerjaraya ‘separa nilai’nya ( semi - value ) dengan angkuh lagi jengeknya mempertahankan keputusannya sambil mengeluarkan kenyataan seperti ‘...ini jalan tol bukan BAPAK saya punya laa...’ yang menghiris hati rakyat , khususnya yang berpendapatanrendah. Hanya setelah desakan dari pelbagai pihak yang dikepalai oleh gagasan pembangkang , barulah DrMahathir beralah untuk mengurangkannya sedikit.

Itupun dilakukan oleh beliau didalam suasana yang penuh jengkel , rasa tidak ikhlas , lagi sinis dengan mengandaikan rakyat mempunyai ‘sindrom subsidi’ . Walhal PM ini juga telah tidak teragak - agak ‘meleburkan’ berbiliun RM wang rakyat bagi menyelamatkan kroninya , walaupun usaha menyelamatnya tidak ubah seperti ‘subsidi maha besar’ dibanding dengan ‘subsidi’ rintihan rakyat .

Lain - lain penindasan terdahulu termasuk ‘terlepasnya’ KPN ( Kaki Perogol Negara ) seorang politikus ‘anak emas’ Dr Mahathir dari negeri Hang Tuah serta pemenjaraan keatas Lim Guang Eng , penyingkiran Tun Salleh Abas , dll.
 
Walaubagaimanapun , segala kemungkaran - kemungkaran ini jauh kerdil ‘dosanya’ jika dibandingkan dengan kes penganiayaan DSAI . Didalam kes ini sahaja , beliau telah secara serentak melakukan pelabagai ‘dosa besar’ lain seperti penganiayaan serta penzaliman individu ( DSAI , Munawar , Sukma , Datuk Nalla dll. ) dan masyarakat ( keganasan polis di Kampung Baru ) , melanggar batas agama serta peradaban bangsa (mencanang serta menyebarkan fitnah serta pelbagai aib ) , mengaibkan institusi kepolisian ( kes memukul DSAI ) , memutar belit lagi memperkotak - katikkan jentera perundangan ( penghakiman serta pendakwaan didalam kes DSAI ) serta pelbagai kedurjanaan lagi .

Justeru itu , rekod KINI UMNO memperlihatkan jauh terlalu BANYAK LAGI BESAR dosa - dosa kemungkarannya . Sedangkan petanda ‘perubahan’ kesedaran positif didalamnya hanyalah sekadar penubuhan suruhanjaya penyiasat ( yang belum tentu lagi kewibawaan serta kebebasannya ) seperti yang dinyatakan oleh AKJ . Maka itu , jelas REKOD KINI UMNO jauh terlalu buruk sehinggakan segala jasa silamnya tidak mungkin dapat menyucikan dosanya kini terhadap rakyat .

Mengenai ‘rekod MASA DEPAN’ nya pula dengan melihat kepada barisan kepimpinan kini sahaja , kita boleh mencongak dengan tepat bahawa mereka TIDAK akan mampu membawa perubahan yang dituntut rakyat . Punca kelemahan ini ialah pada Dr Mahathir sendiri , kerana selagi beliau kekal berkuasa dan tidak memperbetulkan segala kemungkaran yang dilakukannya ( terutama sekali keatas DSAI ) ,adalah sukar bagi kepimpinan pelapis untuk ‘menyucikan’ dosa terpalit pada mereka lantaran perbuatan keji ‘bos’ mereka itu . Tambah lagi , pengganti Dr Mahathir sudah pasti tidak akan berani untuk membawa bekas bosnya ( yang sudah banyak menzalimi kepentingan sosial serta kebendaan negara ) ke muka pengadilan .

Selagi itu , amat sukar bagi mereka untuk mendapatkan mandat penuh rakyat , khususnya dari umat Melayu . Mereka hanya akan menerima  nasib yang sama seperti B.J Habibie di Indonesia yang gagal melaksanakan agenda berkesan untuk rakyatnya , lantaran dilihat sebagai ‘anak didik Suharto’ lantas amat disangsi serta dibenci rakyatnya .

Justeru itu , berdasarkan hujah - hujah diatas, penilaian rekod / prestasi UMNO tatkala SILAM , KINI dan BAKAL mendatang , jelas menunjukkan bahawa UMNO ( diterajui kini oleh Dr Mahathir serta kepimipinan pelapis ‘bonekanya’ ) TIADA sebarang tanda mutlak akan KEIKLHASAN , ILTIZAM SERTA KEWIBAWAAN mereka untuk menjadi ‘rakan kongsi’  berwibawa didalam suatu ‘kontrak sosial’ .

Justeru itu , sebarang tawaran ‘kontrak baru’ dari UMNO ini kepada rakyat tidak lebih daripada  suatu OMONG KOSONG serta muslihat untuk mengabui rakyat memberi ‘kontrak baru’ . Kontrak baru akan hanya dikhianati lagi ,lantas menghalalkan UMNO ini untuk terus menindas rakyat secara terang mahupun tersirat .

Maka itu , rakyat mesti bijak melihat apa yang tersirat didalam omongan baru UMNO ini . Pilihan kita sewajarnya jelas , iaitu berani serta tekad  untuk memeterai ‘kontrak’ dengan alternatif baru yang juga berwibawa , iaitu gagasan PEMBANGKANG . Kita mesti memberi peluang kepada ‘rakan kongsi’ baru ini yang telah jelas menunjukkan keberanian , kesungguhan serta iltizam membela kepentingan rakyat , melalui pelbagai isu gawat terkini .

Mesej kita kepada rejim ini , termasuk penulis lacuran propaganda mereka seperti AKJ bahawa masa ‘janji manis’ ( ‘kontrak sosial’ baru , perubahan di pihak UMNO , dll ) telah TERLEWAT & rakyat tidak bodoh mahupun mudah ‘termakan’ janji sedemikian . Seterusnya bagi Dr Mahathir & kroninya ( termasuk AKJ ) sewajarnya usah membuang masa dan wang rakyat dengan pelbagai propaganda picisan , untuk memperbodoh serta menipu rakyat lagi .Sebaliknya mereka harus mempersiapkan diri mereka (spt. mencari kerja lain , suaka politik , mengupah peguam licik dsb.) untuk menerima habuan pedih rakyat tatakala pilihanraya kelak.