Make your own free website on Tripod.com
POLIS BIMBANG IMEJ TERCEMAR

Gara-gara mantan Ketua Polis Negara Malaysia "hilang sabar dan pertimbangan"

KUALA LUMPUR -- Polis Diraja Malaysia semalam menyuarakan kebimbangan bahawa imej mereka akan tercemar menyusuli pengakuan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, bahawa beliau mengambil bahagian dalam pemukulan semasa mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam tahanan polis.

Seorang peguam bagi Tan Sri Rahim semalam berkata pegawai berkenaan mengakui melakukan pemukulan itu, sambil berkata beliau "hilang kesabaran dan pertimbangan" selepas Datuk Seri Anwar menuduh beliau sebagai "bapak anjing' pada September tahun lalu.

"Kerosakan telah berlaku. Beliau sepatutnya membuat pengakuan sejak dahulu lagi," demikian seorang pegawai polis cawangan khas memberitahu agensi berita AFP menyusuli perkembangan terbaru dalam siasatan awam berhubung dengan serangan polis ke atas mantan timbalan perdana menteri itu.

Seorang pegawai kanan yang tidak mahu namanya disebut berkata: "Kami berharap orang awam tidak akan menganggap tindakan satu orang sebagai satu perkara yang dilakukan semua orang dan melabelkan pihak polis suka menggunakan kekerasan."

Peguam Tan Sri Rahim, Encik Teh Poh Teik, memberitahu Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar September lalu bahawa kliennya memberi arahan kepada beliau untuk mengaku melakukan serangan itu.

Tan Sri Rahim meletakkan jawatan bulan lalu selepas lima tahun menjadi Ketua Polis Negara Malaysia berikutan satu siasatan dalaman mempersalahkan pegawai-pegawai polis yang tidak dikenali sebagai bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.
Beliau menyertai pasukan polis sebagai seorang pegawai kadet pada 1969.                   -- AFP.