Make your own free website on Tripod.com
SURAT DS ANWAR KEPADA IMAM, AJK DAN AHLI QARIAH MASJID

Yang dimuliakan Pengerusi, Imam, Jawatankuasa dan ahli qariah masjid/surau Permatang Pauh:
-dengan du'a semuga dapat kita sempurnakan ibadah puasa Ramadhan mubarak sehingga mencapai derajat taqwa
Marilah kita menghayatinya dengan memperteguh iman serta memantapkan akhlak; dan banyak bertilawah, menjadikan al-Quran sebagai pedoman danpetunjuk (hidayah)

Sejak 1982, setiap Ramadhan, saya telah dapat bersama secara bergilir beriftar, bertarawikh atau Solat Jumaat. Amat terasa sekali kerana saya tidak berkesempatan menghulurkan bantuan atau turut hadir bersama pada tahun ini. Di penjara, saya dikurung bersendirian dan dinafikan peluang berjemaah atau Solat Jumaat. Namun, selain dari menghadiri perbicaraan mahkamah, saya penuhi ruang untuk memperbanyakkan amal dan memohon du'a ke hadrat Ilahi.

Memang lumrah bahawa perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan penuh dengan liku dan onak serta menuntut pengorbanan. Tetapi, saya tidak menduga diuji ketahap ini: dibentak kepala dan dipukul; dicela, dihina dan diaibkan setiap hari. Tidak terjangka bahawa pemimpin parti dan kerajaan yang saya dukung dan pertahankan tergamak bertindak sekejam dan sezalim ini. Yang melegakan dan turut meringankan beban tanggungan ialah kerana keyakinan saya bahawa muslihat dan konspirasi adalah pakatan jahat segelintir kecil sahaja.

AhamdulilLah, berkat du'a dan sokongan saudara-saudara, saya dan keluarga tabah dan bersabar menghadapi dugaan. Umumnya, rakyat juga lebih matang dan sedar; tidak mudah disogokkan oleh propaganda, berita palsu dan fitnah yang didalangi oleh penindas rakyat yang rasuah dan tamak.

Mudah-mudahan Allah swt. memberkati ibadah, du'a dan perjuangan kita bersama.

Saudaramu dalam Islam,
Anwar Ibrahim

Sg. Buloh, Selangor
29 Syaaban 1419
18 Disember 1998