Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN MEDIA:
DR. MAHATHIR MENGHINA KERJAYA PEGUAM DAN INSTITUSI PERUNDANGA

"Dengan banyaknya rakyat yang menyalahi undang-undang maka profesyen 'lawyer' (peguam) begitu menarik sekali sehingga kita mempunyai begitu banyak bilangan peguam di dalam negara kita dan mereka mendapat pendapatan lumayan daripada keperluan mempertahankan penjenayah-penjenayah di dalam negara kita."

Petikan ucapan YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Khas Umno pada 13/12/98 seperti disiarkan dalam Berita Harian 15/12/98 muka surat 10.

Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat membantah keras kenyataan Dr. Mahathir seperti petikan di atas. Kenyataan Dr. Mahathir ini suatu penghinaan terhadap kerjaya peguam dan seolah-olah bagi Dr. Mahathir peguam adalah orang yang bersekongkol dengan penjenayah dan terlibat dengan jenayah.

Seorang peguam adalah sebahagian daripada entiti yang terlibat dalam institusi perundangan negara. Tanggungjawab seorang peguam adalah memastikan proses keadilan dapat berjalan mengikut prinsip yang sebenar dan diberikan kepada semua orang dan penglibatan peguam dalam kes perbicaraan membela orang yang dituduh adalah sebahagian daripada proses perundangan.  Mengikut prinsip undang-undang seorang yang dituduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui proses perbicaraan.

Oleh itu kenyataan Dr. Mahathir tersebut seolah-olah meletakkan orang yang dituduh sudah didapati bersalah yang tidak perlu dibela dan menafikan hak asasi manusia yang diberikan oleh undang-undang dalam negara dan prinsip perlembagaan. Semua ini menggambarkan tiada lagi jaminan proses keadilan akan diperolehi oleh rakyat. Kenyataan Dr. Mahathir ini memperlihatkan sikap beliau yang lebih cenderung dan lebih berminat kepada perlaksanaan undang-undang rimba.

Kenyataan Dr. Mahathir sebenarnya bukan sahaja menghina peguam bahkan turut menghina institusi perundangan dalam negara kita. Antara terlibat dalam institusi perundangan adalah badan kehakiman. Secara tak langsung juga Dr. Mahathir menggolongkan para hakim yang membebaskan orang yang dituduh dalam kes-kes jenayah sebagai satu perbuatan jenayah juga dengan mendapat dan mengambil gaji lumayan untuk menyebelahi penjenayah.

DPP Pusat kesal dengan kenyataan Dr. Mahathir ini yang berbentuk satu provokasi untuk menimbulkan kebencian kepada peguam dan mereka yang terlibat dalam institusi perundangan. DPP Pusat menuntut Dr. Mahathir memohon maaf kepada peguam dan mereka yang terlibat dalam institusi perundangan. Dr. Mahathir sewajarnya menarik balik kenyataan beliau seterusnya mengiktiraf kebebasan sistem perundangan dalam negara kita supaya keadilan dapat dikembalikan kepada rakyat.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Kenyataan Media ini dibuat di Perkarangan Mahkamah Majistret 4 sebelum perbicaraan Ops Kriket Membantah Kedatangan Pasukan Kriket Israel jam 9.30 pagi 17 Disember 1998 / 28 Sya'aban 1419