Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN MEDIA

TUBUHKAN SEGERA SURUHANJAYA BEBAS

Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) melahirkan rasa kesal di atas kegagalan pihak Peguam Negara dan polis untuk mengenal pasti punca-punca kecederaan yang dialami oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa di dalam tahanan polis. GERAK juga meragui ketelusan di dalam sisatan yang dilakukan oleh Pasukan Penyiasat Khas yang turut gagal mengenal
pasti punca kecederaan Dato' Seri Anwar.

GERAK ingin mengulangi penegasan yang pernah dibuat sebelum ini bahawa tidak akan wujud ketelusan apabila berlaku apa yang disebut 'polis siasat polis'. GERAK juga mengesyaki bahawa kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan kuasa oleh pegawai tertinggi polis sehingga menggagalkan siasatan yang dibuat seperti mana dakwaan Peguam Negara yang menyebut:

"Banyak lagi orang yang sepatutnya ditanya, tak ditanya, barangkali orang ini pegawai lebih tinggi daripada dia"

Ini adalah satu gambaran yang sangat jelas bahawa siasatan tersebut tidak berjalan dengan telus bahkan ada unsur-unsur penyalahgunaan kedudukan dalam menentukan keadilan. Kenyataan awal Perdana Menteri bahawa mungkin Dato' Seri Anwar yang memukul dirinya sendiri turut mempengaruhi ketelusan keputusan siasatan. GERAK juga bersetuju dengan Peguam Negara bahawa polis bertanggungjawab dalam insiden ini kerana ia berlaku ketika mangsa berada di dalam tahanan  polis.

GERAK juga hairan tentang dakwaan Peguam Negara kononnya terdapat percanggahan laporan siasatan yang dibuat oleh Panel Doktor dan Laporan Pakar Mata. Kedua-dua laporan tersebut yang dianalisis oleh Pakar Perunding Perubatan Forensik HKL, Dr Abdul Rahman Yusof didakwa oleh Peguam Nagara kononnya terdapat percanggahan antara Laporan Forensik dengan dua laporan tersebut. Seperti yang dipertegaskan oleh GERAK sebelum ini, bahawa perlantikan Dr Abdul Rahman untuk membantu Peguam Negara mungkin akan menimbulkan pelbagai keraguan kini telah menjadi kenyataan.

GERAK mendesak Peguam Negara agar segera mengumumkan laporan siasatan yang pertama oleh Pasukan Penyiasat Khas dan juga laporan daripada Panel Doktor serta Laporan Pakar Mata kepada orang ramai kerana pada masa ini telah timbul terlalu banyak keraguan dan ketidakyakinan rakyat terhadap institusi perundangan terutama Peguam Negara dan polis.

GERAK sekali lagi menuntut agar suruhanjaya bebas segera ditubuhkan untuk menyiasat insiden ini secara adil setelah terbukti pasukan penyiasat yang dibentuk sebelum ini gagal berfungsi. Perdana Menteri tidak seharusnya berfikir panjang di dalam menjana keadilan untuk rakyat tetapi perlu menerima kenyataan bahawa keadilan mesti diberi kepada rakyat walaupun mengorbankan kepentingan peribadi.
 

"KEMBALIKAN KEADILAN UNTUK RAKYAT"
 
 

DATO' HJ FADZIL MOHD NOOR
Pengerusi GERAK
7 Januari 1999.