Make your own free website on Tripod.com
ANWAR DIHUKUM KERANA "DOSA" KEPADA MIRZAN
Oleh Azam

Tidak seperti kisah bagaimana anak Ling Liong Sik yang mencipta kejayaan pada usia semuda 27 tahun, Mirzan Mahathir muncul dan menjadi terkenal dengan cara yang berbeza sedikit, di mana sekurang-kurangnya pada peringkat awalnya, Mirzan naik dengan hati-hati dan berfokus.

Penglibatan Mirzan dalam dunia korporat menjadi begitu jelas pada awal tahun 90an apabila dia masuk ke dalam Konsortium Perkapalan Bhd. (KPB). Waktu itu usianya sudah pertengahan tiga puluh tahun. Sebelum itu dia pernah bekerja beberapa tahun di Saloman Brothers di Hong Kong dan di US, iaitu selepas dia lulus ijazah MBA daripada Wharton's School Of Finance, University of Pennsylvania. Memang betul, dia lulus dari Wharton meskipun dia hanya memiliki ijazah pertama yang biasa-biasa sahaja daripada sebuah politeknik di UK yang pada masa itu belum pun bertaraf universiti, tetapi dia dapat masuk Wharton kerana mempunyai surat rujukan yang kuat daripada sebuah Pejabat Perdana Menteri! Semasa dia bekerja di Hong Kong dia mengahwini seorang gadis Cina yang mempunyai kaitan rapat dengan seorang jutawan Indonesia. Kehidupan peribadi Mirzan tidak banyak diketahui orang.

Selepas untung beberapa juta hasil pembelian saham-saham syarikat pada harga yang amat rendah di bawah skim istimewa kerajaan bagi pemindahan hakmilik korporat kepada Bumiputera, Mirzan mula menunjukkan minatnya kepada KPB.

KPB ialah salah sebuah daripada lima syarikat pengangkutan kontena di negara ini dan ia menguasai 25% daripada pasaran, dengan itu ia adalah syarikat kontena ketiga terbesar, selepas Kontena Nasional dan MISC Haulage. Sewaktu

Mirzan memasuki KPB syarikat itu sudah beroperasi beberapa belas tahun. Dengan kehadiran Mirzan dalam pengurusan tertinggi KPB, syarikat itu mula membeli saham syarikat-syarikat lain dan mengubah strukturnya supaya menjadi sebuah pasaraya pengangkutan bertaraf mega, meliputi pengangkutan darat yang terdiri daripada pengangkutan trak dan rumah gudang, sampailah kepada pengendalian pelabuhan, perkapalan dan pemilikan kapal. Pada akhir tahun 1995, sejurus sebelum sahamnya disenaraikan, KPB membeli Perbadanan Nasional Shipping Line (PNSL) daripada Pernas dan Malaysian Helicopter Services.

Jumlah harga yang dibayar adalah murah memandangkan hampir semua kapal-kapal PNSL disewakan kepada perbadanan-perbadanan kerajaan dengan kontrak jangka panjang dalam dolar Amerika. Pada umumnya, kapal-kapal PNSL disewakan kepada perbadanan-perbadanan kerajaan seperti Tenaga Nasional untuk membawa arang batu, kepada Kedah Cement untuk membawa simen, kepada Perwaja untuk membawa besi skrap, kepada Bernas untuk membawa beras, dan ia menyewakan kapal-kapal tangkinya kepada Petronas, termasuk sebuah kapal tangki LNG saiz kecil.

Melalui langkah-langkah itu, dan dengan bantuan Rashid Hussain serta beberapa buah bank tempatan, Mirzan menjadi pemilik tunggal saham-saham KPB, iaitu melalui syarikat milik peribadinya, Peringkat Prestasi, bersama-sama beberapa individu lain yang dipercayai adalah pengasas KPB sendiri.

Pembelian itu segera diikuti pula oleh langkah pembelian MBO ke atas Pernas,yang waktu itu merupakan agensi pelaburan kerajaan, di mana langkah itu dipelopori oleh Tunku Shariman dan pasukannya sehingga membolehkan Pernas disenaraikan di bawah PIHP. Penyenaraian Pernas dipercepatkan untuk mengelakkan harta-harta syarikat itu daripada dibahagi-bahagikan oleh Mahathir kepada korporat-korporat lain yang ada kaitan dengan dirinya. Apabila sudah tidak ada lagi harta karun dalam Pernas, urusan jual beli itu pun dapat diselesaikan dengan cepat tanpa sebarang bantahan.

Tanpa memiliki PNSL lagi, perniagaan Pernas cuma tinggal dalam bidang perhotelan, perladangan dan kilang gula. Perniagaan seperti itu tidak menarik minat korporat-korporat yang ada kaitan dengan Mahathir, yang pada masa itu lebih berminat dengan perniagaan yang lebih menguntungkan seperti projek-projek lebuhraya bertol dan stesen-stesen penjana tenaga.

Para peramal industri sudah pun menjangka akan berlaku penawaran berlebihan ke atas bilik-bilik hotel. Ditambah pula dengan perniagaan perladangan yang tidak memberangsangkan, harga-harga minyak sawit yang selalu turun naik tidak menjamin keuntungan yang stabil, manakala potensi pembangunan hartanah bank
tanahnya tidak menjamin keuntungan besar luar biasa yang cepat. Pada masa yang sama, perniagaan gula pula susah hendak untung disebabkan status gula sebagai barangan terkawal.

Tidak banyak yang diketahui sejauh mana Anwar terlibat dalam MBO Pernas tetapi kebanyakan pegawai yang rapat dengan Tunku Shariman mengatakan pada masa itu mereka berdua kenal baik. "Tapi jika saudara tanya Tunku Shariman sekarang, saya yakin, kalau boleh dia hendak melupakan saja MBO itu," kata salah seorang pegawai yang tidak mahu namanya disebut. Harga saham PIHP sekarang tidak sampai RM1 berbanding dengan harga MBO sebanyak RM2.05.

Selepas KPB dilancarkan dengan jayanya di KLSE (waktu dibuka harganya melebihi RM6.00 berbanding dengan harga yang ditawarkan pada RM2.60), KPB pun memulakan pelbagai langkah-langkah korporat. Yang paling dipertikaikan ialah pembelian Pacifc Basin dengan pembiayaan hutang dolar Amerika sebanyak US$240 juta.

Pacific Basin ialah sebuah syarikat perkapalan yang berpengakalan di Hong Kong dan ia disenaraikan di bursa saham Nasdaq. Ia memiliki 30 buah kapal pengangkutan kering bersaiz sederhana yang kebanyakannya beroperasi Asia Timur terumatanya di Hong Kong dan China. Kebanyakan penganalisis dan pemerhati industri berpendapat harga pembelian yang dibuat waktu itu adalah mahal kerana waktu itu pasaran kapal sedang jatuh. "Disebabkan kapal-kapal itu disewakan dengan kontrak jangka pendek antara 1 hingga 3 tahun, maka harga saham itu tidak wajar," kata seorang pegawai di syarikat perundingan Drewry Shipping Consultant. Malah ada pihak-pihak percaya urusan jual beli PNSL adalah permainan syarikat hantu, di mana sebuah syarikat ketiga, barangkali milik Mirzan sendiri, berperanan sebagai orang tengah kepada seluruh jual beli itu, dengan cara membeli Pacific Basin dengan harga murah dan menjualnya kepada KPB untuk mendapat untung cepat. Para pegawai Pacific Basin enggan mengulas perkara itu. "Pihak pengurusan Pacific Basin sangat komited kepada kumpulan Konsortium dengan wawasannya hendak menjadi pemain utama dalam aktiviti perkapalan dan pengangkutan peringkat wilayah, kalau pun bukan peringkat dunia. Kami tidak akan mengkhianati nilai para pemegang saham KPB," kata Mark Harris, seorang pegawai tinggi, di mana beliau juga adalah salah seorang pengasas Pacific Basin.

Walaupun begitu, Mark meletakkan jawatannya lewat tahun lalu, tanpa memenuhi kontrak pengurusannya selama 2 tahun dengan KPB yang ditandatanganinya apabila KPB mengambil alih Pacific Basin. Meskipun demikian, spekulasi ke atas KPB semakin rancak, daripada kemungkinan ia diberi penswastaan pelabuhan Barat yang baru itu, hinggalah kepada pembelian MISC. Pada masa yang sama, perniagaan KPB yang ada terus mendapat kontrak-kontrak yang menguntungkan dan pelbagai usahasama, termasuklah kontrak membangunkan bahagian forwarding dan/atau operasi pengangkutan di Thailand, Indonesia dan Filipina. KPB juga mendapat kontrak penswastaan pelabuhan kontena di India. Ini semua tidak mungkin diperolehi tanpa bantuan Kementerian Pengangkutan dan hubungan dua hala antara kerajaan-kerajaan yang terlibat.

Di satu pihak lain, syarikat-syarikat milik Mirzan yang lain juga mendapat banyak kontrak - termasuklah kontrak membekalkan perabot pejabat untuk Menara Kembar Petronas melalui Artwright Holdings. Lain-lain syarikat miliknya termasuklah Dataprep, Lion Land, Chocolate Products, Transmile.......senarai itu sangat panjang, walaupun saham yang dimiliknya dalam syarikat-syarikat itu tidak sebesar sahamnya dalam KPB.

Usahasama KPB dengan Westport untuk membangunkan sebuah pusat transit kenderaan semakin menguatkan lagi spekulasi bahawa KPB akan diberikan kontrak penswastaan Pelabuhan Barat. Saham KPB naik lagi hingga sekitar RM16.00 apabila ia mengumumkan langkah penstrukturan semula Diperdana Haulage, salah sebuah daripada lima buah syarikat pengangkutan kontena yang besar serta PDZ Holdings, sebuah syarikat perkapalan berpengakalan di Sarawak yang disenaraikan pada papan kedua.

Pembelian MISC dijangka akan menjadikan kumpulan KPB syarikat terbesar dalam serba-serbi, daripada perkapalan sampailah kepada operasi pengangkitan kontena. Sekarang, KPB cuma perlukan satu saja lagi supaya ia menjadi lebih besar lagi..... MISC. Seorang pegawai berkata pembelian MISC memang sudah dirancangkan sejak jual beli KPB/Diperdana/PDZ belum siap lagi. Malah, Mirzan sendiri memberitahu dia berminat membeli MISC sebagai langkah jangka masa panjang bagi membolehkan KPB menjadi konglomerat
pengangkutan.

Kemudian, pada pertengahan 1997, KPB menemui Kumpulan Wang Amanah pencen (KWAP), iaitu dana wang pencen kakitangan kerajaan, untuk membeli saham KWAP dalam MISC yang bernilai 29%. Tetapi peraturan ketat dana amanah itu mewajibkan sesuatu asetnya dijual pada harga yang lebih tinggi daripada harga asalnya iaitu RM7.50 sesaham. Pada masa yang sama, krisis kewangan baru saja bermula, tetapi semua orang percaya ia adalah sementara sahaja. Isu bagai mana Petronas ikut terlibat masih belum jelas sampai sekarang. Alasannya memang sangat jelas, oleh kerana MISC menyewakan lima buah kapal LNG kepada Petronas dalam keadaan yang amat menguntungkan, oleh itu kontrak sewaan dan pembelian MISC boleh dilihat sebagai sebahagian daripada aktiviti hiliran pengedaran gas. Walau bagaimanapun, penglibatan Petronas adalah sementara sahaja sehingga KPB berjaya menyelesaikan masalah kewangannya bagi pengambil-alihan MISC. Pada dasarnya langkah pembelian MISC daripada KWAP pada harga yang amat tinggi iaitu RM9.20 berbanding dengan harga pasaran RM6.30 ialah untuk membolehkan KPB membelinya kemudian.

Para spekulator pasaran meramalkan satu lagi penstrukturan kali ini melibatkan kapal-kapal LNG milik MISC yang amat menguntungkan, di mana dengan cara itu nilai saham KPB diharapkan naik. Harga-harga saham KPB dijangka akan terus berada di atas RM17.00. Tetapi keadaan itu tidak pernah terjadi apabila pasaran saham dan nilai ringgit merudum. Keadaan menjadi begitu buruk sehingga KPB terpaksa menangguhkan rancangan penstrukturan semula Diperdana dan PDZ Holdings. Dengan beban hutang RM2 bilion (kebanyakan dalam dolar Amerika) akibat pembelian Pacific Basin, modal KPB turun ke tahap yang amat membahayakan. Tindakan mesti dibuat dengan cepat. Petronas mesti diarahkan supaya menyelamatkan KPB melalui peranan yang akan dimainkan oleh MISC, bukan lagi KPB yang mesti membeli MISC. Dengan itu maka suatu keputusan pun dibuat supaya MISC (Petronas sudah sedia memiliki 29% saham KPB) mengambil alih aset-aset KPB bagi mengurangkan beban hutang KPB.

Pengumuman itu dibuat semasa Mahathir di luar negera. Petronas Tankers dijadikan pelunak supaya perhatian dapat dialihkan daripada PNSL dan Pasific Basin. Harganya belum masih belum ditetapkan, dan pada saat inilah Anwar masuk campur apabila beliau mencadangkan supaya Clarksons, sebuah syarikat pakar runding perkapalan, diberikan tugas menentukan harganya. Penilaian yang dibuat itu sangat mengecewakan dan menyakitkan hati Mahathir kerana ia jauh lebih rendah daripada harga semasa Mirzan membelinya, walaupun jumlah itu dapat mengurangkan beban hutang KPB. Mahathir tidak dapat memaafkan dosa Anwar itu. Cukuplah dengan perbuatan Anwar yang menyebabkan Renong tersungkur akibat langkah-langkah berjimat cermat
yang dilaksanakan oleh Bank Negara. Sekarang anaknya pula dimalukan begitu sekali.

Mana mungkin Mahathir memaafkan dosa-dosa Anwar. Anwar mesti dihukum, dan dia mesti dihukum dengan beratnya.....