Make your own free website on Tripod.com
2 Mach 1999

Yang Berbahagia Tan Sri Mohtar Abdullah
Peguam Negara Malaysia
Bangunan Bank Rakyat
Jalan Tangsi
50732 Kuala Lumpur

Tan Sri,

Rayuan daripada individu-individu yang dituduh terlibat dalam perhimpunan haram.

The International Movement for a Just World, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia menyokong rayuan yang dihantar kepada Peguam Negara oleh 124 (seratus dua puluh empat) individu yang dituduh mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada bulan Oktober 1998. Mereka merayu agar pertuduhan terhadap mereka ditarik balik.

The International Movement for a Just World berpendapat bahawa rayuan mereka harus diberi pertimbangan yang wajar atas beberapa sebab.Pertama, sekiranya tuduhan-tuduhan ditarik balik, Kerajaan akan membuktikan kepada khalayak ramai bahawa ia menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman – sesuatu hak yang termaktub dalam Perlembagaan
Malaysia.

Kedua, sekiranya Kerajaan menggugurkan pertubuhan-pertuduhan tersebut, rakyat Malaysia dan dunia luar akan menganggapnya sebagai satu tindakan yang positif. Ini akan memulihkan imej negara yang tercemar akibat beberapa peristiwa kebelakangan ini.

Ketiga, kita dimaklumkan bahawa sebahagian besar daripada petuduh mengalami masalah ekonomi akibat daripada proses mahkamah yang memakan masa. Oleh kerana, mereka terpaksa menghadiri mahkamah, mata pencarian sebahagian daripada petuduh-petuduh dari sektor swasta terjejas. Pekerja-pekerja sektor awam juga menghadapi masalah. Ketidakhadiran
mereka di tempat kerja bermakna produktiviti sektor awam merosot.

Memandang kepada faktor-faktor di atas, dan beberapa faktor lain, rayuan petuduh-petuduh kepada Peguam Negara adalah berasas. Semoga Tan Sri dapat memberi pertimbangan yang wajar kepada rayuan mereka, berdasarkan keadilan dan keperimanusiaan.

Sekian. Terima kasih.

Ikhlas,
 

(Dr. Chandra Muzaffar)
Presiden
International Movement for a Just World