Make your own free website on Tripod.com
BARISAN KEADILAN NASIONAL

ALTERNATIF KEPADA BN
 

Bolehkah pembangkang memenangi pilihanraya kali ini? Persoalan ini menjadi topik bicara politik di mana-mana. Sejak peristiwa pemecatan TPM 2 September lalu, parti-parti pembangkang dan NGO mula menggerakkan rakyat supaya menuntut keadilan dan sekaligus menolak kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam seperti biasa UMNO dan BN terus menggunakan media massa, baik tv mahupun akhbar dan majalah (MASSA) untuk menjalankan propaganda bagi melemahkan ikatan parti-parti pembangkang dan NGO.

PAS ditohmahkan sebagai parti ekstrim Melayu-Islam. Utusan Malaysia dan TV3 berjaya mewawancara Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS lalu memutarbelitkan kenyataan beliau, baik dalam isu kerjasama dengan syaitan, isu sekularisme dan terbaru "larangan wanita bekerja".

DAP pula terus dituduh sebagai parti cauvinis dan ekstremis Cina yang tidak mungkin dapat bekerjasama dengan PAS, kerana PAS berhasrat menegakkan negara Islam. Isu kenyataan maaf Karpal Singh dan pengunduran Pengerui DAP Selangor diperbesar-besarkan oleh media.

Pelbagai laporan tentang senario politik semasa menunjukkan rakyat rata-rata mahukan perubahan. Dalam kes Anwar Ibrahim, 90 peratus rakyat percaya beliau tidak bersalah. Sebahagian besar percaya memang wujud konspirasi politik untuk membunuh kerjaya politik beliau oleh pihak atasan.

Gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Anwar Ibrahim kini sudah memasuki fasa kedua dengan penubuhan ADIL. Fasa pertama bercorak tunjuk perasaan. Oleh kerana ancaman pihk polis, kumpulan (merujuk kepada aktiviti demonstrasi) tersebut semakin mengecil jumlahnya. Mengikut laporan terakhir, penubuhan ADIL mungkin sukar untuk mendapat kelulusan.
 
Jika pendaftaran ADIL tidak diluluskan, adakah grakan reformasi menjadi reformati? Satu-satunya pilihan kumpulan penyokong Anwar Ibrahim ialah menubuhkan parti politik.

Menyedari kemungkinan ini, awal-awal lagi Dr Mahathir sudah memasakkan propaganda ke dalam minda rakyat. Kalau Semangat 46 dulu pun berkubur, tentulah parti baru juga tidak ke mana.

Soalnya apakah parti baru masih relevan? Bukankah PAS dulu menang di Kelantan dengan pertolongan Semangat 46?

Dalam strategi kempen pilihanraya, terdapat dua unsur penting yang perlu diambil kira. Pertama ialah long term attachment to the party, dan kedua ialah short term campaign cues.

Masalah utama bagi mana-mana pihak yang menentang establishment ialah propaganda yang sudah ditanamkan sejak sekian lama oleh pihak yang berkuasa. Rakyat pula sudah sekian lama dipengaruhi dan "menikmati" hasil pembangunan yang dipelopori parti pemerintah, sehingga hidup mati rakyat seolah-olah "bergantung" penuh kepada parti tersebut.

Beberapa masalah yang dihadapi khususnya menjelang pilihanraya umum hanya dianggap sebagai petanda jangka pendek yang biasanya dianggap gagal mengubah pemikiran pengundi.

Psikologi Melayu pula dikatakan cepat lupa. Paling lama 100 hari. Sebab itu Dr Mahathir menjangka isu anwar ini akan berakhir begitu sahaja.

Tetapi isu Anwar sudah melebihi 5 bulan dan belum reda. Pilihanraya umum pula tidak lama lagi. Berbeza dengan kemunculan Semangat 46 yang hanya disebabkan perbalahan dalaman UMNO, isu Anwar adalah isu keadilan yang melibatkan rakyat.

Rakyat tidak sanggup lagi melihat penipuan, penyelewengan, kepalsuan dan kezaliman berterusan sehingga ada saksi yang dipaksa membuat pengakuan yang tidak munasabah. Apa lagi apabila TS Rahim Noor membuat pengakuan mencederakan Anwar. Maknanya apa yang disangkakan selama ini memang benar!

Rakyat mula curiga terhadap peranan sistem kehakiman dan kepolisan. Sementelah pula muncul pula cerita pembaziran kerajaan (pembinaan mahligai PM), penggunaan wang rakyat untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni (Renong dll) dan kenaikan harga tol baru-baru ini.

Walaupun BN menang di Sabah, senario politik di Semenanjung jauh berbeza. Di Sabah, umat Islam tidak ada pilihan lain. Lagi pula BN dikatakan memancing undi dengan menggunakan jumlah wang cukup banyak.

Kesedaran rakyat kali ini jelas memihak kepada parti pembangkang. Peluang hanya datang sekali-sekala. Semua pihak yang ingin melihat kerajaan yang lebih adil perlu bersatu.

PAS atau DAP tidak mungkin dapat mengalahkan BN dengan mudah. BN pun menang kerana mereka bersatu. Kebetulan pula pembangkang kurang bersatu. Atau sekurang-kurangnya propaganda BN begitu kuat dengan memberi gambaran bahawa pembangkang tidak mungkin bersatu berbeza besar dan ideologi.

Adakah UMNO dan MCA mempunyai dasar dan ideologi yang sama? Jawabannya tidak! Mereka kuat kerana mereka bertanding atas nama Barisan Nasional. Konsep ini nampaknya diterima oleh rakyat.

Oleh itu, sekiranya pembangkang hendak memenangai pilihanraya, PAS, DAP, PRM dan NGO penegak keadilan mestilah bersatu di bawah satu lambang. Satu parti. Selagi PAS, DAP dll bertanding menentang BN menggunakan logo masing-masing, mereka tidak akan dilihat sebagai alternatif.

Yang mampu menewaskan BN hanyalah Barisan Rakyat atau Barisan Keadilan Nasional. PAS, DAP, PRM dan lain-lain (termasuk NGO) mesti bersetuju untuk membina a new force (kekuatan baru) dengan menwujudkan barisan alternatif.

Anwar Ibrahim dan para pendukung gerakan reformasi mungkin tidak perlu menubuhkan parti baru, tetapi sebaliknya memasuki PAS dan menjadikan PAS sebagai parti alternatif kepada UMNO bagi orang-orang Melayu.

DAP pula mewakili orang Cina, dengan syarat mereka mesti mengambil imej sederhana (sebenarnya MCA dan Gerakan lebih bersifat perkauman, tetapi media menjalankan propaganda sekian lama dengan memberi gambaran negatif kepada DAP).

Orang India pula boleh diwakili oleh mana-mana parti yang menentang MIC sekarang. Parti-parti lain di Sabah dan Sarawak juga boleh diundang untuk turut serta.

Motto atau tema pemersatuannya ialah keadilan. Keadilan untuk semua, tanpa mengira kaum dan kedudukan. Manifesto yang lain mungkin boleh difikirkan kemudian.

Perdana Menterinya ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim dan TPM ialah Dato' Fadhil Noor. Menteri-menteri lain hendaklah terdiri daripada pemimpin parti komponen Barisan Rakyat atau Barisan Keadilan Nasional. Yang penting orang Melayu tidak kehilangan kuasa, orang bukan Melayu pula terbela nasibnya berdasarkan hak masing-masing.

Rakyat semakin yakin bahawa sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk menukar kerajaan. BN sekarang tidak relevan lagi kerana para pemimpinnya lebih cenderung untuk melakukan penyelewengan, pembaziran dan menindas rakyat.

Barisan Rakyat atau Barisan Keadilan Nasional diperlukan untuk menggantikan penyelewengan, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme, pembaziran dan penindasan. Malaysia yang lebih stabil, demokratik, telus dan adil.
 

BAHARUDDIN AMR
Penyokong Keadilan, Penentang Kezaliman